Cengal Besar Pasir Raja Masih Berdiri Gagah

263

DUNGUN – Pengarah Majlis Tindakan Tindakan DUN (MTD) Bukit Besi, Haji Ghazali Sulaiman menafikan sekeras-kerasnya kenyataan segelintir pihak, kononnya Pokok Cengal terbesar dan tertua, di hutan simpan Pasir Raja telah dimusnahkan.

Katanya, pokok itu masih wujud dan berada dibawah jagaan dan seliaan Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu (KPKKT).

“pokok tu masih berdiri gagah, Cengal terbesar dan berusia kira-kira 1300 tahun ini ditemui di Hutan Simpan Pasir Raja, Hulu Dungun pada 1999 oleh Pegawai Renjer Durian Mas II, Encik Omar Mohamad,” tegasnya ketika dihubungi.

Beliau yang juga Pegawai Penyelaras DUN dan pernah berkhidmat di sebuah syarikat perkayuan juga menyifatkan tuduhan tersebut satu fitnah yang jahat.

” Dakwaan yang mengatakan kayu balak itu tidak dikenakan bayaran cukai kerana Balai Pemeriksaan Hutan ditutup juga tidak berasas,” tambahnya.

Menurutnya, Seksyen 16 Akta Perhutanan Negara 1984 memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Kerajaan Negeri untuk membenarkan pengambilan hasil hutan dengan cara lesen atau lesen kecil.

” Lesen diperlukan bagi mengeluarkan hasil hutan dari Hutan Simpanan Kekal atau Tanah Kerajaan.

” Lesen kecil diperlukan bagi mengeluarkan apa-apa hasil hutan utama yang tidak melebihi 70 meter padu atau mana-mana hasil kecil hutan dari mana-mana Hutan Simpanan Kekal atau Tanah Kerajaan,” jelasnya.