Calon PAS Yang Ku Kenali; P033 Besut – Dr Riduan Mohd Nor

5934

Oleh : MNA

Saya secara peribadi menyediakan penilaian calon-calon PAS untuk PRU 14 ini sebagai gambaran kepada kejayaan mahupun sisi lain mereka kepada rakyat Terengganu untuk sama-sama kita mendekati mereka. Sebagai seorang pengamal media, saya berpeluang menemui, berkawan ataupun berkerja bersama-sama mereka didalam jemaah PAS.

Saya sentiasa mengikuti perkembangan sebahagian besar calon-calon PAS terutama yang melibatkan isu Sidang Dun. Ada yang saya kenali dengan mendalam, ada juga melalui program-program bersama. Lebih daripada itu, saya berpeluang membuat liputan terhadap mereka secara dekat, bagi mengupas pelbagai isu-isu semasa di Terengganu. Melalui pengalaman ini, saya kongsikan dengan anda watak-watak calon-calon PAS kali ini di hadapan dan di balik tabir.

Saya sangat yakin dan percaya bahawa barisan calon-calon PAS yang diketengahkan kali ini adalah yang terbaik kepada rakyat Terengganu dengan tema Maju, Berkat, Sejahtera. Semestinya akan ada kelemahan dan kekuatan yang mana kebiasaan bagi sesebuah pasukan. Tetapi pastinya mereka akan saling bergantung dan bergandingan sesama mereka. Maju dalam hal keduniaan seperti menyediakan calon-calon dari kalangan profesional.

Berkat dari segi maksud ialah mengekalkan kehendak Allah dan rasul dalam membangunkan negeri, dan sudah pastinya rakyat sudah boleh melihat kebolehan ulamak-ulamak PAS berfungsi. Sejahtera hasil dari gabungan dunia dan akhirat ini yang tidak menolak dunia dan mengusahakannya sesuai dengan kehendak akhirat, insyaAllah akan membuka pintu-pintu rahmat Allah.

Mari kita ketepikan cara berpolitik kotor, fitnah, persepsi jahat, tuduh menuduh dan mengantikannya dengan fakta, kebenaran, mengikut kehendak al-Quran dan Sunnah. Kita mahu membina negara yang lebih baik. Kita tinggalkan mereka yang gagal membawa misi perpaduan dan ketaatan kepada Allah.

Tunjukkan kebaikan parti dan calon anda. Ayuh bersama PAS bagi membina kerajaan teknokrat, sebuah kerajaan yang akan mengiktiraf kepakaran seseorang, disesuai dengan kehendak agama Islam. InsyaAllah penilaian ringkas ini adil bagi anda menilainya. Pengecualian kepada empat calon, yang mana saya tidak pernah berpeluang bertemu dan saya tidak ada membuat sebarang catatan bagi kempat-empat mereka iaitu N04 Hulu Besut, Mat Daik Mohamad, N06 Permaisuri, Ustaz Zul Bhari A Rahman, N024 Ajil, Ustaz Maliaman Kassim dan N032 Air Putih, Ab Razak Ibrahim.

P033 Besut : Dr Riduan Mohd Nor

Senior saya di sekolah menengah yang dikategorikan sebagai pelajar yang aktif dan popular. Sekarang memiliki Phd dalam bidang pendidikan. Secara peribadi mengenali beliau sebagai seorang yang kuat berusaha untuk kemajuan pendidikan selain daripada suka menulis buku. Kesungguhan beliau dibuktikan dengan kejayaan beliau membina dua buah pondok tahfiz moden An-Nur di Besut dan Sungai Tong.

Berbagai usaha yang dilakukan beliau dalam semua tugasan yang diberikan terutama yang melibatkan orang seni, ketika dipertanggungjawabkan menerajui Lajnah Kesenian PAS Pusat, bersesuaian dengan minat beliau dalam bidang seni. Nama-nama seperti Bob Lokman, Zuar XPDC, Saiful Apek adalah antara figura yang berjaya diajak beliau untuk bersama PAS dan mendalami ilmu agama. Bukan itu sahaja, Ustaz Riduan juga aktif menyertai NGO bagi membantu umat Islam di luar negara dan beberapa tahun lepas, telah berjaya membina pusat Islam di Poland bersama rakan-rakan beliau.

Seorang yang degil untuk terus bangkit melawan, biarpun lawan beliau di parlimen ini ialah seorang yang dipuja di Besut. Tanpa takut, beliau terus memikul amanah untuk menjadi calon buat kali kedua. Isterinya seorang Profesor Madya dan pernah dinobatkan sebagai antara tokoh pendidikan yang berpengaruh di Malaysia.

InsyaAllah dengan kesungguhan dia berkerja untuk memartabatkan Islam, dengan hasil-hasil yang sehingga kini diberi kepercayaan memegang jawatan sebagai AJK PAS Pusat, dibantu dengan latar belakang isterinya yang berpengaruh dalam bidang perbankan itu, saya yakin beliau mampu memberikan sumbangan besar kepada negara jika diberi peluang oleh pengundi Besut.