Calon-Calon PAS Yang Ku Kenali; Orang Hulu….

3352

Oleh : MNA

Saya secara peribadi menyediakan penilaian calon-calon PAS untuk PRU 14 ini sebagai gambaran kepada kejayaan mahupun sisi lain mereka kepada rakyat Terengganu untuk sama-sama kita mendekati mereka. Sebagai seorang pengamal media, saya berpeluang menemui, berkawan ataupun berkerja bersama-sama mereka didalam jemaah PAS. Saya sentiasa mengikuti perkembangan sebahagian besar calon-calon PAS terutama yang melibatkan isu Sidang Dun. Ada yang saya kenali dengan mendalam, ada juga melalui program-program bersama. Lebih daripada itu, saya berpeluang membuat liputan terhadap mereka secara dekat, bagi mengupas pelbagai isu-isu semasa di Terengganu. Melalui pengalaman ini, saya kongsikan dengan anda watak-watak calon-calon PAS kali ini di hadapan dan di balik tabir.

P038 Hulu Terengganu Haji Muhyidin Abdul Rashid

Mr Cool, kalau boleh saya gelarkan beliau. Sangat tenang, tidak pernah lihat wajah kemarahan daripada beliau. Mudah diajak berbual dan senang mesra. Diberi kepercayaan beberapa kali bagi menjawat jawatan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu. Mencerminkan keupayaan beliau memikul tanggungjawab sebagai salah seorang pemimpin tertinggi PAS Terengganu. Pernah memenangi kerusi parlimen Hulu Terengganu ini pada tahun 1999-2004. Keluarga beliau dari kalangan orang yang disegani di sekitar Kuala Berang.

Ada beberapa kali saya menemuramah beliau bagi isu-isu terutamanya di sekitar Kuala Berang. Sebagai contoh pembongkaran oleh beliau isu berkenaan tanah rezab Melayu yang digadaikan Umno kepada syarikat Cina dari Pulau Pinang yang dipercayai pro DAP. Pembinaan hotel yang tangki kumbahannya disalurkan ke perkarang Masjid Sultan Mahmud, yang dikatakan tidak mendapat kelulusan ketika itu.

N21 Telemong : Ustaz Kamaruzaman Abdullah

Ustaz K, gelaran bagi Ketua Pemuda PAS Terengganu ini. Mempunyai ramai pengikut dari kalangan pemuda yang sukakan dengan cara beliau berkuliah. Mutakhir ini program-program PAS telah dihadiri dengan limpahan kehadiran anak-anak muda yang ingin menyertai PAS. Inilah kekuatan Ustaz Kama kerana berjaya membentuk pasukan pemuda yang dapat menarik minat orang-orang muda menyertai program PAS. Lebih dari itu, beliau dapat membuktikan kepada PAS Terengganu untuk menyenaraikan tujuh wakil Pemuda PAS Terengganu sebagai calon pada PRU kali in.

Sangat jauh meninggalkan Umno yang ketandusan bakat-bakat muda sehingga terpaksa ‘recycle’ produk lama dalam PRU kali ini. Program menarik anak-anak muda anjuran kerajaan teknokrat PAS, pasti akan lebih hebat lagi jika beliau memenangi kerusi Telemong pada kali ini. Amat senang berkerjasama dalam mengulas isu-isu semasa bagi siaran akhbar.

N22 Manir : Hilmi Harun

Anak kepada mantan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Harun Taib ini, pernah belajar sehingga ke Perth, Australia bagi mendalami ilmu, fasih bertutur arab dan inggeris. Sering memberikan masalah kepada Exco Pertanian kerana soalan beliau berkenaan kegagalan banyak projek pertanian oleh kerajaan, acap kali gagal dijawab dengan baik. Beberapa hari sebelum dipilih menjadi calon PAS pada tahun 2013, beliau sepatutnya mendaftarkan diri menjadi pegawai agama Petronas, tetapi arahan parti mengatasi kehendak beliau. Naib Ketua Pemuda PAS Terengganu ini juga mesra dengan semua lapisan masyarakat. Ketua Pemuda Umno Terengganu yang tinggal sekampung dengan beliau juga sering mengundang beliau ke majlis-majlis di sekitarnya sebagai menghormati kedudukan beliau.

N23 Kuala Berang : Mamad Puteh

Seorang lagi doktor perubatan yang disenaraikan sebagai calon PAS kali ini. Beliau pernah mengisi kerusi Dun Kuala Berang ini pada sesi 1999-2004 dahulu sebelum dikalahkan. Saya tidak pernah mengambil berita daripada beliau kerana beliau kurang aktif berpolitik sedikit masa dahulu. Tetapi saya pernah menziarahi beliau di rumahnya ketika beliau kurang sihat.

Dikisahkan ketika beliau menjadi Adun dahulu, beliau sangat komited membantu rakyat miskin di Kuala Berang. Mempunyai klinik perubatan sendiri di pekan Kuala Berang, memudahkan lagi beliau memberikan khidmat kepada rakyat susah walaupun sudah tidak bergelar Adun. Beliau membantu tidak mengira musim dan ideologi. Pengalaman beliau sebagai Adun, pastinya akan lebih membantu PAS Terengganu dalam mentadbir negeri nanti ditambah dengan akhlak yang terpuji beliau itu dan juga gelaran dokto yang dimiliki beliau, pasti menambah keyakinan pengundi untuk memilih Dr Mamad.