Bukti Jelas Malaysia Negara Sekular

4475

Oleh : KAM

SETIU – Keputusan Mahkamah Rayuan yang membolehkan “Anak Tak Saf Taraf “ atau yang lahir luar nikah boleh dibinkan kepada nama bapa bukti paling jelas, Malaysia ini sebuah negara sekular.

Naib Presiden PAS, Dato’ Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata jika Malaysia sebuah negara Islam perkara tersebut tidak akan berlaku di mahkamah.

Oleh kerana, katanya Malaysia ini sifatnya Sekular maka keputusan Mahkamah Rayuan itu mengenai anak tak saf taraf mengikut bidang kuasanya.

“Jika Malaysia ini negara Islam tidak akan terjadilah keputusan Mahkamah Rayuan (menyanggah) dengan pandangan fatwa para mufti. Inilah bukti paling besar Malaysia ini sebuah negara sekular.

“Sebab itu, wajib kepada kita orang Islam berjuang untuk ambil kuasa politik dan perbetulkan semula supaya Islam berada di landasan agama.

“Oleh kerana, sifat negara kita Sekular dan dia (mahkamah) tidak terikat dengan agama. Ini kerana, kuasa politik yang tidak peduli tentang Islam, Umno yang pegang kuasa politik dan sebab itu kita kena tukar Umno-BN dalam pilihan raya,” tegasnya ketika berucap pada Ceramah Penutup Karnival Dun Jabi 2.0 di Dataran PGU Jabi, Besut, Abtu 5 Ogos.

Namun, kata Dato’ Nik Mohd Amar, pandangan balas itu bukan bermakna mempertikaikan keputusan para hakim dan mahkamah 100 peratus tetapi dari sudut pandangan Islam.

Menurut beliau, hakim dan mahkamah itu membuat keputusan berdasarkan bidang kuasanya yang tidak terikat dengan agama.

“Kita bukan mempertikaikan keputusan mahkamah, itu hak dia tetapi kita beri sudut pandangan sebagai orang Islam. Rasa kecewa kita, rasa tidak puas hati kita, rasa kesal kita kerana sistem yang ada di Malaysia ini sistem Sekular yang memisahkan agama daripada pentadbiran dan politik negara.

“Kita hormatlah keputusan mahkamah tetapi sebagai orang Islam kena komen. Hakim buat keputusan anak diberi ‘bin’ kepada ayah dia yang tidak cukup syarat yang sepatutnya.

“Tidak cukup enam bulan dua lafzah. Mana-mana anak yang lahir dari enam bulan dua lafzah perkahwinan anak itu tidak boleh dibinkan kepada bapanya. Sebab, diragui nasab keturunannya.

“Mahkamah buat keputusan itu dalam bidang kuasa dia. Kesannya besar kepada agama, besar kepada hukum (Islam),” jelasnya.

Beliau yang juga Timbalan Menter Besar Kelantan menegaskan perjuangan PAS adalah untuk mengambil kuasa politik bagi mendaulatkan Islam di Malaysia.

Justeru, katanya Umno dan kerajaan Barisan Nasional yang telah lama memerintah wajar ditukarkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, akan datang.

“Lama doh kita beri peluang kepada Umno ini memerintah, orang Melayu beri kepercayaan kepada Umno sejak mula-mula merdeka lagi. Macam-macam doh Umno buat kepada orang Melayu dan agama Islam. Bukan makin gagah, makin berat ada…

“Kerajaan yang perintah hari ini orang Islam, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri orang Islam, Menteri Kabinet pun ramai orang Islam. Tetapi, fatwa para mufti…mahkamah pun tidak pakai.

“Dari sudut agama, mahkamah (sepatutnya) kena hormat kepada fatwa (mufti). Dalam Islam Undang-undang dengan hukum, hukum kena duduk di atas (tinggi).

“Tapi kerana negara kita Sekular. Sebab itu, PAS berjuang seluruh Malaysia untuk jadi Islam. Bukti Sekular yang paling besar seperti dalam kes ini, mahkamah boleh tolak fatwa, boleh tolak pandangan mufti, boleh tolak pandangan agama kerana dia (Hakim) ada kuasa dia sendiri.

“Ini yang kita (PAS) hendak betulkan jika boleh perintah Malaysia. Umno ini ‘mati-mati’ kata Malaysia ini negara Islam,” ujarnya dengan sinis.