Seorang wanita etnik Uighur beragama Islam mendedahkan bagaimana dia diseksa dan didera dalam kem tahanan yang diwujudkan oleh pihak berkuasa China di wilayah Xinjiang.
Mihrigul Tursun, 29, memberitahu kepada media di Washington bahawa dia disoal siasat selama empat hari berturut-turut tanpa tidur, selain rambutnya dicukur dan direnjat dengan elektrik.
Wanita itu juga memaklumkan dia terpaksa menjalani prosedur perubatan yang tidak sewajarnya ketika ditahan kali kedua di China pada tahun lalu dan keadaan tersebut menjadi semakin teruk selepas ditahan kali ketiga.
“Saya rasa lebih baik mati daripada terpaksa mengharungi semua seksaan serta penderaan tersebut, malah saya juga merayu kepada mereka untuk membunuh saya,” katanya seperti yang dipetik portal Independent.
Pendedahan itu dibuat ketika meningkatnya bantahan sejagat mengenai penindasan kerajaan China terhadap golongan minoriti di negara itu.
China didakwa menahan lebih dua juta penduduk Uighur dalam beberapa kem tahanan yang dikatakan berfungsi untuk ‘mendidik dan menanam perpaduan’ dalam kalangan mereka.
Sehingga Oktober tahun ini, pihak berkuasa China berkeras menafikan semua dakwaan tersebut.
Menurut Mihrigul, dia dibesarkan di China sebelum berpindah ke Mesir untuk mempelajari bahasa Inggeris di sebuah universiti di sana.
Kemudian, dia bertemu dengan seorang lelaki yang kini menjadi suaminya dan mereka dikurniakan anak kembar tiga.
Pada 2015, Mihrugil pulang semula ke China untuk meluangkan masa bersama-sama keluarganya sebelum ditahan dan dipisahkan dari anak-anaknya.
Apabila, wanita itu dibebaskan tiga bulan kemudian, seorang daripada anak kembarnya telah meninggal dunia, manakala dua lagi mempunyai masalah kesihatan.
Dua tahun kemudian, Mihrugil ditahan buat kali kedua dan beberapa bulan selepas itu ditahan sekali lagi dan terpaksa bersesak dalam sebuah sel bersama 60 lagi tahanan wanita.
Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa tidur secara bergilir-gilir, menggunakan tandas di depan kamera keselamatan dan menyanyi lagu Parti Komunis China.
Selain itu, Mihrugil memberitahu dia dan beberapa tahanan wanita lain dipaksa mengambil ubat-ubatan yang tidak diketahui termasuk pil yang membuatkan mereka pengsan, pendarahan dan tidak datang haid.
Jelasnya, sembilan tahanan wanita meninggal dunia dalam tempoh tiga bulan dia ditahan dalam kem berkenaan.
Penderitaan Mihrugil tidak berakhir di situ apabila dia direnjat dengan elektrik atas kerusi sehingga mulutnya berbuih, selain memberitahu dia dikenakan seksaan berkenaan kerana dia etnik Uighur yang disifatkan sebagai satu jenayah di China.
Selepas dibebaskan, Mihrugil membawa anaknya ke Mesir sebelum diarahkan pulang semula ke China.
Namun, dia sempat menghubungi pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan pada September lalu, Mihrugil pergi ke AS dan menetap di Virginia. – AGENSI