Oleh: Dr Azman Ibrahim
Kampung Bukit Tanah, Besut, tanah tumpah darah tempat lahir saya adalah antara kampung terbesar di Dewan Undangan Negeri Jabi.
Hasil dari kajian mudah berdasarkan perbualan bertanya khabar dengan orang lama di kampung ini, saya meletakkan satu fakta bahawa Kampung Bukit Tanah ini telah mula dibuka dan didiami penduduk sejak hampir 100 tahun yang lalu.
Almarhum Datuk saya, Allahyarham Mat Saman Mamat antara generasi awal yang mula mendiami kampung ini setelah berpindah dari Kampung Gong Datuk Pasir Puteh Kelantan ke Bukit Tanah, Besut ketika usia ayahanda belum lagi memasuki sekolah rendah. Sekarang usia ayahanda telah menjangkau 72 tahun.
Di Bukit Tanah tak ada Klinik Desa dan tak ada sekolah rendah sebagaimana yang ada di Tempinis dan Tembila. Pondok Polis pun tak ada. Masjid Bukit Tanah masih lagi sebuah masjid kayu.
Selama dua hari dua malam Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) bersama HARAKAH berkampung di Bukit Tanah dalam Program Kampung Media dan Sambutan 30 Tahun Harakah mendedahkan lagi sisi kekurangan yang ada di sini. Di Bukit Tanah tak ada talian 3G!
Lantaran itu suka saya menawarkan kepada mana-mana syarikat TELCO yang sudi dan berminat untuk buat pemancar di Bukit Tanah. Kalau tak ada tempat, saya boleh bincang dengan orang tua untuk guna tanah keluarga kami untuk didirikan pemancar.