KEMAMAN – Laporan Ketua Audit Negara 2014 juga telah mendedahkan kelemahan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu dalam memantau aktiviti penerokaan tanah secara tidak sah.
Aktiviti pemantauan kurang berkesan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) telah menyebabkan pelanggaran syarat aktiviti perlombongan bauksit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai Haji Hanafiah Mat berkata, Laporan tersebut telah menyatakan dengan jelas bahawa PTG adalah pihak bertanggungjawab menjalankan tugas pemantauan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti perlombongan di seluruh Negeri Terengganu.
“PTG mesti memastikan semua syarat dan prosedur mengenai operasi perlombongan dipatuhi, malangnya PTG tidak ada jadual perancangan penguatkuasaan dan pemantauan,
“serta laporan pemantauan tidak disediakan dan tiada bukti mesyuarat pemantauan diadakan,”ujarnya.
Katanya, ini telah disahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2014, berkaitan Aktiviti Jabatan dan Agensi kerajaan negeri Terengganu.
Oleh sebab itu berlakunya pelanggaran dan ketidakpatuhan syarat-syarat perlombongan yang telah ditetapkan.
“Laporan tersebut juga menjelaskan bahawa kebenaran melombong Bauksit tidak diperolehi, tetapi tauke lombong dengan bebas telah menjalankan akviti perlombongan secara haram,
“sedangkan kerajaan negeri tidak berbuat apa-apa? Ini sangat memalukan!,”ujarnya
Oleh itu, beliau mendakwa, untuk menutup kelemahan tersebut, Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mahu meluluskan lessen melombong bauksit tersebut dengan mengemukakan alasan bahawa kerajaan akan mendapat hasil dari aktiviti itu.
“walaupun pengusaha terbabit dikatakan sebagai tuan tanah………….…tapi beliau tidak boleh terlepas dari tindakan undang-undang……………tindakan mesti diambil dan diselesaikan dahulu perlanggaran yang dibuat,
“bukan oleh kerana kita tak dapat selesaikan satu kes melanggar undang-undang, lalu kita beri lesen kepada yang melanggar undang-undang itu,”soal Hanafiah.
Oleh itu, beliau menyeru rakyat Kemaman agar sedar bahawa pencemaran yang telah berlaku akibat aktiviti perlombongan secara haram itu adalah disebabkan kelemahan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu.
“bukan sahaja PTG, bahkan Laporan Ketua Audit Negara juga telah menegur Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan pencemaran alam sekitar diatasi ekoran daripada aktiviti pengeluaran dan pengalihan bauksit
“Antara kawasan yang dikenal pasti tercemar adalah laluan Felda Neram, laluan Kemaman ke Bukit Goh Kuantan, jalan lama Kampung Jabor dan kawasan perindustrian Teluk Kalong, Kemaman,”ujarnya.
Bahkan lebih teruk lagi, kata Hanafiah, kerajaan juga gagal menghalang hasil bumi Terengganu itu diekspot keluar negara secara haram dan ia berlaku di kawasan pelabuhan yang dikawal oleh anak-anak syarikat kerajaan negeri Terengganu.










