BPMS Jadikan PAS Tetap Utuh

705

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN – Budaya Politik Matang dan Sejahtera(BPMS) adalah pendekatan yang diambil Parti Islam Se-Malaysia(PAS), menjadikan gerakan parti politik Islam itu kekal utuh.

Presidennya, Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengingatkan bahawa PAS menolak ‘Arab Spring’, pendekatan negara umat Islam mestilah ‘muwajahah silmiyyah’ iaitu secara damai.

“Pendekatan yang lain akan mewujudkan pertembungan sesama kita dan boleh mencetuskan peperangan proksi, peperangan secara wakalah… kita mewakilkan orang lain berperang untuk kita, ini yang berlaku di negeri Arab yang masyhur dengan ‘Arab Spring’ .

“Sehingga hari ini gerakan Islam di negeri Arab hancur lebur, gerakan di Indonesia dalam keadaan berkecai, tinggal kita ,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu kali ke 47 di Dewan Masjid Pinang Merah di sini pada 22 Ogos lalu.

Katanya, parti itu mengambil satu pendekatan, BPMS, daripada bertembung secara persendirian kepada ‘tahaluf siyasi’.

“bercampur dengan para parti lain dalam istilah moden ‘politic coalition’ kepada politik taawun(cooperation), bertaawun dengan cara lebih fleksibel, lebih anjal dengan tidak terikat dengan mana-mana parti,” jelasnya lagi.