Kaedah bomoh yang digunakan untuk mencari penerbangan MH370 yang hilang jelas bercanggah dengan amalan Islam, kata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam satu kenyataan dikeluarkan pada hari Rabu.
Ketua Pengarah Jakim Datuk Haji Othman Mustapha berkata walaupun hukum mengamalkan pengubatan alternatif atau kaedah perbomohan adalah harus di dalam Islam namun mestilah tidak bertentangan dengan syarak.
“Jika dilihat dari sudut alat-alat yang digunakan beliau pula menggambarkan bahawa bahawa raja bomoh ini menggunakan unsur khurafat dan tahyul yang ditolak dalam Islam.
“Panel menjelaskan bahawa Islam adalah saintifik dan menolak segala perbuatan tahyul dan khurafat,” katanya.
Katanya, dalam satu Mesyuarat panel Kajian Akidah Jakim pada 22 hingga 23 November 2004, Jakim telah memutuskan bahawa rawatan perbomohan Ibrahim Mat Zin adalah bercanggah dengan aqidah Islam.
Jakim telah terlebih dahulu mengeluarkan Garis Panduan Perbomohan Menurut Islam untuk diteliti dan difahami oleh masyarakat dan ia boleh diakses melalui laman web Jakim www.islam.gov.my.
Othman mengingatkan semua masyarakat khasnya umat Islam agar tidak terpengaruh dan, atau mengamalkan upcara perbomohan yang jelas bertentangan dengan Islam.
Beliau turut memuji pihak berkuasa tempatan dan sukarelawan bantuan asing yang menggunakan pendekatan sains, kepakaran teknikal dan teknologi canggih dalam usaha untuk mencari pesawat yang hilang.
“Walaupun tidak ada petunjuk tentang di mana pesawatberada, kita tidak boleh berputus asa. Saya yakin kita akan mendapat petunjuk mengenai misteri pesawat yang hilang dengan izin Allah,” katanya.
Namun begitu tiada tangkapan yang dibuat kepada kesalahan yang telah dilakukan oleh Ibrahim Mat Zin.
Perbuatan Ibrahim tersebar begitu meluas di kebanyakan laman blog dan sosial di internet, beserta bukti bergambar dan video klip.
Bahkan, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, sepatutnya ada seseorang yang menangkap bomoh tersebut, tetapi sehingga kini, JAKIM hanya menghantar pasukan untuk hanya melakukan siasatan.
Pada masa yang sama, gambar-gambar Ibrahim bersama pemimpin Umno dalam majlis-majlis rasmi Barisan Nasional (BN) juga tersebar dalam media sosial.
Mustahil Khairy yang begitu aktif menggunakan akaun twitternya tidak mengetahui siapa Ibrahim.
Jamil, dilaporkan akhbar berkata, tidak salah melakukan ikhtiar mencari pesawat yang hilang dengan menggunakan khidmat bomoh, sedangkan bomoh yang telah melakukan acara ‘khurafat’ itu diketahui ramai adalah Ibrahim.
Oleh itu, pendirian dan tindakan kerajaan BN terhadap bomoh Ibrahim hampir sama, sebagaimana isu yang membabitkan pesawat MH370 yang hilang dan keengganan kerajaan BN berselindung dengan alasan tidak menggunakan kapal selam Scorpene dalam usaha mencari dan menyelamat.
Kerajaan tidak berani menghadapi kebenaran kerana bimbang keburukan akan terdedah.
Ia adalah bagi melindungi kuasa politik parti yang memerintah Umno dan Barisan Nasional (BN) sehingga pencarian pesawat MH370 sehingga tahap hari ke lima masih dalam keadaan kelam kabut.