Anak jati Dun Sungai Limau, Ustaz Mohd Azam Abd Samat telah diumumkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semalam 21 Oktober
Berikut adalah Biodata ringkas beliau;
Nama: Azam Samad
Umur : 37 Tahun
Pengajian: Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar
Pengalaman : Bekas guru penolong kanan hal ehwal murid Sekolah agama bantuan kerajaan Bukit Besar
Ketua Pemeriksa STAM dan penggubal kertas peperiksaan STAM Kementerian Pelajaran Malaysia
Jawatan : Ketua Pemuda PAS Kawaasan Jerai, Pengarah pasti Negeri Kedah
Status : Berkahwin (Anak 4 orang)
Lain-lain : Bekas Exco Persatuan Melayu Republik Rakyat Mesir (PEMERAM)


Ikuti temubual beliau bersama Wartawan Harakah Kedah, IZWAN ABDUL HALIM seusai diumumkan calon di Sungai Limau Dalam, 21 Oktober.
Soal : Jadi macam mana perasaan Ustaz diumumkan akan mewakili PAS sebagai calon pada PRK N.20 Sungai Limau ini?
Jawab : Tanggung jawab sebagai calon inipun sebenarnya perkara yang berat untuk dilaksanakan. Cuma saya sebagai ahli jamaah, kena memastikan perkara yang diputuskan oleh jamaah itu dilaksanakan. Kita sebagai ahli jamaah, melaksanakan tugas di mana posisi yang jamaah tentu letak atas kita. Jadi bila diamanahkan untuk jadi calon, dengan rasa rendah diri tanggung jawab yang besar ini saya harap dapat laksana dengan sahabat-sahabat dalam jamaah sebagai satu pasukan.
Soal : Ustaz berada pada kedudukan bertanding di kerusi untuk mempertahankan kemenangan. Bagaimana cabaran dan tekanan yang mungkin Ustaz rasa?
Jawab : Macam kita tahu, kerusi Dun Sungai Limau telah lima penggal Almarhum Ustaz Azizan Abdul Razak pertahankan, sejak tahun 1995 lagi. Dalam masa lima penggal ini, banyak kekuatan dan pengaruh peribadi Almarhum sendiri yang mungkin dari sudut adik beradik beliau, hubungannya dengan masyarakat, jadi itu mudah untuk beliau pertahankan kerusi ini. Jadi dalam PRK ini walaupun kerusi ini telah kita pertahan lima penggal, paling utamanya seluruh jentera tidak ambil sambil lewa, kita akan bersama dan bersungguh-sungguh. Kita kena pandang, jentera BN tidak seperti Pilihan Raya Umum. Mereka akan turun bukan sahaja sebagai Jentera Umno-BN, tetapi juga bersama Jentera Kerajaan. Dalam banyak pilihan raya pun, lebih-lebih lagilah pilihan raya kecil, banyak janji ditabur Umno. Jadi ini boleh berlaku perubahan, mungkin kepada sebahagian kecil pengundi dalam Dun Sungai Limau. Jadi kita harap, semua petugas agar menyedari peranan yang harus dimainkan mereka itu sangat penting. Dalam kedudukan pilihan raya kecil, semua posisi jadi penting untuk digerakkan sebaiknya. Kita bukan setakat hendak meraih undi, tapi meraih kemenangan. Jadi jangan terlalu selesa supaya kita dapat pertahankan Dun Sungai Limau ini. Kepada pengundi khususnya yang duduk dalam Dun mahupun di luar, jangan berasa tindakan tidak keluar mengundi tidak beri kesan. Sebab tempat kita telah menang banyak kali. Kalau 1,000 pengundi berpandangan sedemikian bukan sahaja beri kesan penurunan majoriti, boleh jadi kita akan mengalami kekalahan. Jadi pengundi PAS di dalam Dun Sungai Limau dan juga Pengundi Luar Kawasan (PLK) jangan ada hasrat untuk tidak menunaikan tanggung jawab mengundi.
Soal : Tampuk Kerajaan Negeri Kedah bertukar tangan pada PRU lalu walaupun Dun Sungai Limau kekal kepada PAS. Bagaimana Ustaz sendiri melihat kecenderungan semasa pengundi dan jangkaan penerimaan mereka kepada Ustaz?
Jawab : Setakat hari ini di Dun Sungai Limau dapat menyelami jasa-jasa telah dilakukan Almarhum Ustaz Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar dan telah kembali kerahmatullah. Jasa yang beliau sumbangkan untuk Dun Sungai Limau dan peranan Almarhum pernah mainkan untuk terus turun berjumpa masyarakat, tidak kira latar belakang dan bangsa, dari yang duduk di kampung, pekan, adik beradik dan pengundi bukan Melayu, jadi semua ini kita harap pengundi akan memberikan kepercayaan kepada PAS untuk menang di sini. Walaupun kita juga mengharapkan masyarakat tidak terpengaruh dengan dakyah dimainkan Umno-BN, sebab selama lebih 100 hari kepimpinan negeri beralih kepada Umno-BN, tidak ada perubahan yang telah mereka berikan.
Soal : Apa kesinambungan perjuangan Almarhum Ustaz Azizan yang akan Ustaz teruskan dan pembaharuan yang akan Ustaz perjuangkan?
Jawab : Sebenarnya sepanjang saya terlibat dengan parti dan melihat bagaimana Almarhum Ustaz Azizan bekerja, banyak perkara yang telah saya belajar. Antaranya hubungan dengan masyarakat itu perlu rapat khususnya mengambil berat soal kebajikan, kematian, kenduri kendara. Ini mungkin kita nampak kecil, tetapi kepada masyarakat khususnya di kampung-kampung, ini sangat besar bila pemimpin dapat bersama masyarakat. InsyaAllah, untuk Dun Sungai Limau ini saya usaha untuk jadikan sebagai tempat yang aman dari gejala sosial. Pendedahan kita ialah dengan kita hampirkan PAS dan Islam ini sendiri kepada generasi muda. Saya sendiri sebagai Ketua Pemuda PAS Kawasan Jerai, jika diberi amanah oleh penduduk Dun Sungai Limau, kita akan menyantuni golongan-golongan muda dan kita akan menyelami kehidupan mereka agar selari dengan Islam dan budaya-budaya Melayu yang baik. Insya-Allah kita harap seluruh masyarakat akan beri kepercayaan kepada PAS yang membawa wadah Islam, kerana Islam ini adil untuk semua tidak kira kepada sesiapa sahaja. Jadi terus beri peluang pada PAS untuk memimpin di Sungai Limau.




























