Hujan lebat dan petir berdentum malam tadi, tengok seorang Mak Cik tua tak berganjak dari lokasi Ceramah Pra Fastaqim. Hanya menutup kepalanya dengan sehelai kain. Bukan Mak Cik ini seorang. Malah sangat ramai lagi yang tak berganjak.
Saya tak pandai membuat anggaran. Cukuplah kalau digambarkan bahawa kehadiran ceramah Pra Fastaqim semalam sangat luar biasa. Memang realitinya himpunan semalam berjaya membentuk satu gelombang hijau yang hebat. Gelombang yang bakal bergerak ke arah kemenangan.
Saya juga sangat menghargai tindakan pantas anggota Unit Kebajikan dan Kecemasan memberikan respon yang cepat dan berkesan ketika menangani situasi cemas ketika hujan dan petir semalam.
Bukan mudah nak menangani situasi cemas yang berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda amaran di tengah-tengah lautan manusia. Ini pengalaman mahal yang ditimba secara terus dari lapangan tugas.


Kesesakan teruk jalan raya menambah lagi cabaran petugas kecemasan. Untuk menghantar seorang pesakit ke HSNZ Kuala Terengganu, paling cepat 40 minit masa diperlukan.
Saya bertuah menjadi salah seorang anggota Jabatan Amal untuk bertugas bersama-sama mereka. Mereka adalah hero yang tak didendang. Datang mereka mencurah bakti, pergi mereka diingati.
Dr Azman Ibrahim
Ketua Unit Kebajikan dan Kecemasan
Fastaqim 2.0
30 September 2017





























