Oleh : YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Nampaknya Seberang Takir sekarang akan mengalami perubahan mendadak dan menghangatkan semenjak MB Terengganu yang hampir diundi tidak percaya oleh wakil rakyat Umno sendiri tetapi diselamatkan oleh budi bicara Yang DiPertua Dewan dalam Dun minggu lepas.
Beliau yang juga Adun Seberang Takir itu, dikhabarkan akan membina bandar baharu di sekitar hujung tanjung Seberang Takir….begitulah khabarnya.
Pada Januari lalu, MB berjanji akan menangguhkan projek-projek mega di Terengganu kerana kegawatan ekonomi, tetapi sehingga sekarang, masih tiada senarai projek-projek yang akan ditangguhkan itu dikeluarkan, malah makin galak projek seperti Pulau Bebas Cukai Kenyir, Pembinaan Semula Pasar Payang, Draw Bridge dan persimpangan bertingkat untuk masuk ke kampung MB itu berjalan.
Manakala hak rakyat bawahan dan miskin ditarik seperti menghentikan penghantaran pelajar-pelajar cemerlang ke luar negara, kelewatan bayaran wang saraan kepada pelajar-pelajar tajaan kerajaan negeri di luar negara serta pemotongan bajet agensi-agensi kerajaan sehingga sebanyak 22%.
Tahun lepas MB umumkan nak jadikan Seberang Takir sebagai hub petroleum baru setelah membatalkan cadangan itu di Pulau Kerengga.
Mungkin dia lupa yang Seberang Takir itu kawasan padat penduduk dan pantainya selalu menghadapi masalah hakisan yang teruk, maka kerana itu dia sebutkan hal itu. Sekarang dah senyap.
Dan mungkin kerana nak jaga air muka projek petroleum tak jalan, nah sekarang bandar baru yang diberi nama Sun City pula dikatakan akan dibina di Seberang Takir.
Bertuah sungguh orang Seberang Takir dapat MB yang begitu perihatin membina kemajuan di Dun nya sendiri tanpa putus-putus walaupun kita percaya pengundi sebenar yang memberikan majoriti di Seberang Takir ialah kem-kem askar iaitu undi pos.
Berapa pula agaknya nilai projek ini? Kontraktor mana yang akan dapat? Adakah tanah rakyat akan diambil?
Kita tunggu dan lihat episod seterusnya….
***YB Ustaz Mohd Nor Hamzah ialah Ketua Penerangan PAS Terengganu, artikel ini ditulis pada 6 Jamadilakhir 1437 bersamaan 15 Mac 2016











