MARANG – Jumlah orang Islam di Asia Tenggara paling ramai dalam dunia sekitar 300 juta orang dan lebih ramai jumlahnya dari negara Arab dan negeri-negeri yang lain.
Malangnya, kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang nasib orang-orang Islam sangat dihina dan direndah kerana kuasa politik serta kuasa pemerintahan dipermainkan orang.
“Ramai kalangan orang Islam sama ada nelayan dan petani, peniaga kecil di seluruh kawasan ini menghadapi keadaan yang tidak kuat, yang dhaif dan dipermainkan.
“Anak-anak muda kita pula tidak tahu apa hendak jadi dengan masa depannya dengan sebab pemerintah yang tidak menunaikan amanah dengan cara yang betul sama ada di Malaysia, Indonesia dan lain-lain lagi.


“Tetapi kebanyakkan orang-orang Islam tidak faham dan tidak ‘reti’ (tahu). Mereka masih lagi memberi kuasa kepada pengaruh-pengaruh politik yang boleh membeli mereka, yang menipu mereka dan yang mempermainkan mereka,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan NGO’s Parlimen Marang 2016, di perkarangan Masjid Kampung Pasir Puteh, Merchang, Marang pada Jumaat 22 April.
Hadir sama pada majlis itu, Yang Dipertua (YDP) PAS Marang, Yahaya Ali dan pengarah programnya, Cikgu Mohd Deraman.
Ustaz Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan bahawa hanya rakyat yang boleh membuat perubahan dalam pemerintahan sesebuah negara.
Katanya, perubahan itu bukan sahaja dengan parti-parti politik tetapi juga gerakan rakyat melalui Badan Bukan Kerajaan (NGO).
“Yang boleh mengubah pemerintahan ialah rakyat. Bukan sahaja parti-parti politik. Maka, gerakan rakyat dari pelbagai kalangan nelayan, petani dan sebagainya.
“Pilihan raya sangat penting supaya mereka (rakyat) sedar bagaimana kedudukan politik boleh menguasai ke laut mereka, boleh menguasai tanah mereka, boleh menguasai kebun mereka dan mengasai segala-galanya.
“Di sinilah mustahaknya pertubuhan-pertubuhan dan Ngo-Ngo dari macam-macam ini perlu bersatu, mesti sedar dan usah biarkan orang tipu kita selama-lamanya,” ujar Presiden PAS.


Justeru, katanya bersatulah semua atas nama umat Islam bagi menghadapi cabaran yang besar dalam dunia hari ini.
“Bersatu atas nama umat Islam untuk menghadapi cabaran yang besar, sebab dalam dunia pada hari ini orang Islam kena bersatu.
“Orang Indonesia, semangat dia (rakyat) tinggi. Alhamdulillah, walau pun dia dalam keadaan lebih miskin daripada kita (Malaysia). Tapi, Ngo dia kuat walau pun parti politik dia lemah.
“Inilah perlunya kita ada Ngo atau pertubuhan bukan politik. Sebab dengan ada pertubuhan ini barulah jadi kuat hingga menakutkan kerajaan,” jelasnya.
Menurutnya, kedudukan hari ini umat Islam tidak bersatu dengan membawa diri masing-masing.
Pada majlis tersebut sebanyak 10 buah badan bukan kerajaan (Ngo) di kawasan Marang bergabung atas nama Gabungan Ngo Marang Terengganu (Gamit).





























