Assalamualaikum. Saya ingin berkongsi pengalaman saya dengan pembaca sekelian.
Kali pertama saya melangkah kaki ke kuliah Jumaat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ialah bersama ayahanda ke Masjid Rusila (lama) yang mana masjid lama ketika itu diangkat bagi proses pembesaran. Pada waktu itu, khutbah disampaikan TGHH berdekatan pokok nangka, dan dimasa itu, tulisan TGHH diedarkan setelah dicetak.
Ketika saya dialam remaja, saya bersekolah di Sekolah Menengah Agama Sheikh Abdul Malek, saya kerap bersama beberapa teman-teman keluar pagi hari Jumaat semata-mata untuk mendengar kuliah TGHH dengan menumpang sesiapa yang sudi membawa kami untuk pergi ke sana.
TGHH menjadi idola saya ketika itu, sehingga kaset-kasetnya saya beli dan menjadi santapan halwa telinga ketika di asrama mahupun rumah.


Saya merasakan teramat rugi bagi anak-anak muda jika tidak mengambil kesempatan untuk menadah ilmu dari murabbi ummah ini. Semoga seluruh pencinta ilmu dapat hadir pagi besok, bagi meraikan saat kemanisan dalam menuntut ilmu daripada beliau. Dan walaupun begitu, sayang seribu kali sayang, saya rasa amat terkilan kerana tidak dapat hadir dalam majlis mulia tersebut yang dinaungi oleh para malaikat insyaAllah.
Saya juga rasa teruja dan malu, apabila pihak masjid meminta saya menggantikan kuliah beliau ketika ketiadaan TGHH. Arrhh….janganlah dibandingkan diri saya yang kerdil ini dengan kehebatan ilmu kurniaan Allah kepada Tuan Guru yang bagaikan langit dengan bumi. Namun demi memenuhi tuntutan dakwah, saya terus bergerak ke meja kuliah dengan langkah yang berat. Seberat bebanan yang tiada terungkap bandingannya. Saya gagahi jua langkah saya, tiada lain melainkan mengharap berkat daripada Allah. Semoga ALLAH menghimpunkan saya dan kita di akhirat bersama anbiya, ulama dan auliyaNya.
Ayuh kita sama-sama menyerikan Majlis Khatam Tafsir al-Quran bersama murabbi yang kita cintai kerana Allah ini esok.
Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
5 Syaaban 1437 bersamaan 12 Mei 2016





























