Bersama Mempertahankan Masjid Al-Aqsa

155

Pada 7 Oktober lalu jam 6.30 pagi, kumpulan pejuang Palestin telah melakukan serangan mengejut ke atas kedudukan tentera regim Zionis Israel di wilayah yang dijajahnya di Gaza. Serangan tersebut hampir sahaja melumpuhkan kekuatan tentera regim Zionis Israel di Gaza.

Serangan tersebut dilancarkan berikutan kedegilan dan keangkuhan regim Zionis Israel khususnya pemimpin dan pendatang haram Yahudi walaupun diberi amaran keras secara berterusan, akan tetapi terus menceroboh dan mencemarkan kesucian Masjidil Aqsa di samping perlakuan zalim dan kejam yang tiada hentinya ke atas rakyat Palestin.

Kini perang antara kumpulan pejuang Palestin dan tentera regim Zionis Israel telah memasuki hari ke empat dengan kumpulan pejuang Palestin telah meluaskan lagi kawasan “medan perang” hingga sampai ke ibu kota negara haram Israel iaitu Tel Aviv.

Serangan mengejut tersebut juga telah berjaya “meloloskan” kumpulan perjuang Palestin ke kawasan yang berada di luar Semenanjung Gaza termasuk menyerang dan menawan beberapa buah pengkalan tentera regim Zionis Israel serta penempatan haram Yahudi yang berada di kawasan sempadan dan luar Semenanjung Gaza.

Ia mengejutkan banyak pihak di dunia apabila tentera regim Zionis Israel yang diklasifikasikan antara yang terbaik di dunia seakan-akan kaku mahupun lumpuh dalam menghadapi serangan mengejut kumpulan pejuang Palestin yang begitu tersusun dan dikoordinasikan dengan begitu baik.

Berikutan serangan mengejut tersebut baik dari darat, laut mahupun udara, kini Tebing Barat hanya berada dalam lingkungan 10km dari jangkauan kumpulan pejuang Palestin dengan ramai penganalisa ketenteraan meramalkan jika kumpulan pejuang Palestin berjaya sampai ke Tebing Barat seterusnya mengukuhkan kedudukannnya di kawasan tersebut, ia akan berjaya memisahkan negara haram Israel kepada dua seterusnya mampu melemahkan kekuatan regim Zionis Israel.

Namun implikasi daripada serangan tersebut amat besar khususnya berikutan serangan balas daripada tentera regim Zionis Israel. Angka korban di kalangan rakyat Palestin telah mencecah hampir 790 orang dengan lebih kurang 4100 orang lagi dilaporkan cedera berikutan serangan dan pengeboman yang amat ganas oleh tentera regim Zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Angka kematian di kalangan pendatang haram Yahudi, polis dan tentera regim Zionis Israel juga amat tinggi hingga hampir mencecah 1000 orang dengan lebih 3000 orang lagi dilaporkan cedera. Ini tidak termasuk lebih kurang 150 orang pendatang haram Yahudi, polis dan tentera regim Zionis Israel yang berada dalam tahanan kumpulan pejuang Palestin dengan ratusan lagi pendatang haram Yahudi dilaporkan hilang. Namun dilaporkan angka tersebut lebih besar dari nyatakan kepada umum.

Saat ini ramai yang menjangkakan perang tersebut akan merebak dan menjadi lebih besar berikutan telah tercetus insiden tembak-menembak dan serangan roket antara tentera regim Zionis Israel dengan “tentera Hizbullah” di sempadan Lubnan yang mengakibatkan seorang pegawai dan 2 orang tentera regim zionis Israel terbunuh dan 3 orang anggota “tentera Hizbullah” terkorban.

Jangkaan tersebut diramalkan akan berlaku apatah lagi apabila Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengerahkan kapal pengangkut pesawat pejuang terbesar Amerika Syarikat USS Gerald R. Ford dan kapal perang pengiringnya supaya segera berlayar ke perairan berdekatan negara haram Israel sebagai langkah bersiap sedia jika peperangan tersebut menjadi semakin besar dan memuncak.

Ia ditambah lagi dengan tuduhan regim Zionis Israel, Amerika Syarkat dan sekutunya dari Barat bahawa Iran adalah “dalang utama” di sebalik konflik terbaharu ini. Namun kini telah mula hangat kedengaran dari pemimpin Barat bahawa Rusia juga turut sama menjadi dalang di sebaliknya.

Bagi kita kebanyakkan umat Islam sebagaimana yang diketahui, apa yang dilakukan kumpulan pejuang Palestin dengan sokongan majoriti umat Islam adalah untuk membebas dan memerdekakan rakyat dan bumi Palestin daripada penjajahan regim Zionis Israel yang dilindungi dan disokong kuat oleh Barat khususnya Amerika Syarikat dan Britain.

Itu pada pandangan umum umat Islam mahupun penduduk dunia namun sebaliknya terdapat perhitungan yang cukup besar dari sudut geopolitik dunia yang amat tidak stabil dan cukup merbahaya ketika ini yang mana jika ia menjadi tidak terkawal ia akan “menghangatkan” suasana di Asia Barat seterusnya mampu mencetuskan kemungkinan perang dunia ketiga.

Siapa yang amat memerlukan konflik ini terus melarat dan memuncak seterusnya mendapat untung akibat daripadanya dan mengapa ? Jawapannya adalah Barat.

1. Mengekalkan Hegemoni di Asia Barat.

Beberapa tahun kebelakangan ini, pengaruh geopolitik dan kekuatan Barat khususnya Amerika Syarikat di serata dunia semakin terhakis. Ia bertambah buruk sejak berlangsungnya konflik di Ukraine. “Abraham Accord” atau normalisasi hubungan antara negara haram Israel dengan negara- negara Asia Barat yang diusahakan Donald Trump dan diteruskan Joe Biden dilhat gagal mencapai matlamat.

Walaupun tujuan diusahakan normalisasi ini adalah untuk menjaga keselamatan dan mengukuhkan kedudukan negara haram Israel, tetapi ia juga sekaligus akan menguatkan lagi cengkaman Barat ke atas rantau dan negara Asia Barat. Namun semuanya dilihat semakin kabur selepas China dan Rusia melebarkan pemgaruhnya di kalangan negara-negara Asia Barat.

Berikutan itu, Amerika Syarikat semakin terpinggir di Asia Barat apatah lagi hubungan yang semakin tegang antara Amerika Syarikat dan Arab Saudi semenjak Joe Biden menjadi Presiden Amerika Syarikat. Menyedari kehilangan Arab Saudi memberi risiko amat besar kepada Amerika Syarikat, maka bermulalah “manipulasi dan tipu daya” licik Amerika Syarikat untuk “memujuk dan menjerat “Arab Saudi kembali ke “pangkuannya” dengan kerap menghantar diplomat tertingginya ke Arab Saudi kebelakangan ini.

Maka tersebarlah berita mengatakan Amerika Syarikat sedang mengusahakan rundingan untuk menormalisasi hubungan antara Arab Saudi dan negara haram Israel. Walaupun pada mulanya ia dinafikan namun semuanya nyata ketika Perhimpunan Agung PBB di New York baru-baru hingga Benjamin Netanyahu memaparkan peta baharu Asia Barat yang langsung tidak wujud Palestin di dalamnya.

Beliau juga dengan angkuhnya mengatakan bahawa Palestin tidak mempunyai hak untuk berkata apa-apa dalam rangka normalisasi mahupun pelan damai Asia Barat yang beliau sedang usahakan bersama Amerika Syarikat dan Arab Saudi tersebut. Maka rentetan daripada peristiwa tersebut, lalu berlakulah apa yang kita lihat hari ini. Tindakbalas Barat khususnya Amerika Syarikat yang kita lihat hari ini adalah kerana ia tidak mahu misinya gagali seterusnya merencatkan usahanya untuk terus mengekalkan hegemoninya khususnya di Asia Brat.

2. Menggagalkan Misi Damai China dan Rusia di Asia Barat.

Sebelum ini suasana di Asia Barat kelihatan semakin tenang berikutan usaha damai yang dilakukan oleh China dan Rusia dengan Arab Saudi dan Iran telah berjaya didamaikan dan bakal dituruti oleh Yaman, Syria dan Turkiye. Usaha tersebut juga dilihat mendekatkan lagi perpaduan dan kesatuan di kalangan negara Asia Barat.

Akibat daripada itu, negara-negara Asia Barat mula cenderung ke arah China dan Rusia dan sebelum meletusnya perang di Palestin, dilihat semakin akrab dengan China dan Rusia apatah lagi dengan penyertaan Arab Saudi dan UAE ke dalam BRICS di samping hubungan rapat negara-negara Asia Barat dengan Rusia khususnya dalam OPEC+.

Hilangnya negara utama Asia Barat seperti Arab Saudi dan UAE dari cengkaman Barat bermakna akan hilanglah faedah besar khususnya ekonomi dan geopolitik yang dikecapi Barat selama ini. Oleh itu untuk menggagalkannya, Barat perlu meletakkan Asia Barat semula dalam keadaan sebelum ini iaitu bersengketa mahupun berperang sesama sendiri.

Oleh itu perang yang tercetus di Palestin ketika ini adalah kaedah dan peluang yang sesuai untuk Barat menggagalkan segala usaha yang dilakukan China dan Rusia kerana Barat tahu isu Palestin juga salah satu sebab utama perpecahan di kalangan negara Asia Barat yang seterusnya mampu melenyapkan terus usaha serta pengaruh China dan Rusia di Asia Barat.

3. Mencari Jalan Keluar Dari Konflik di Ukraine.

Konflik di Ukraine akhirnya telah “memakan diri” Barat berikutan kegagalan perang proksi tersebut untuk menumbangkan Presiden Rusia Vladimir Putin dengan harapan akan tercetus kebangkitan dan pemberontakan terhadap Vladimir Putin dari dalam Rusia seterusnya akan berlaku ‘regime change’.

Perang tersebut telah mengakibatkan ekonomi Barat berada dalam keadaan genting dengan semakin terhakisnya kekuatan dan pengaruh geopolitik Barat di serata dunia. Ia juga menyebabkan Barat terbahagi kepada dua dan mula berpecah dengan amat teruk di samping berlakunya kebangkitan di Barat sendiri yang menentang perang di Ukraine.

Jika diperhatikan kebelakangan ini, Barat seperti sedang mencari “jalan keluar” dari konflik di Ukraine dan akhirnya mendapat jalan keluar setelah tercetusnya peperangan di Palestin. Ia juga adalah kerana satu-satunya isu yang selama ini menyatukan negara-negara Barat adalah isu negara haram Israel.

Respon Barat amat pantas apabila negara haram Israel diserang kumpulan pejuang Palestin. Ini adalah kerana mengekalkan kestabilan dan keselamatan negara haram Israel selama ini memberikan keuntungan besar kepada Barat baik dari sudut ekonomi dan geopolitik berbanding “sengsara” yang dilaluinya akibat konflik di Ukraine.

4. Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat 2024.

Semenjak menjadi Presiden Amerika Syarikat, populariti dan sokongan rakyat Amerika Syarikat terhadap Joe Biden semakin menurun dengan begitu drastik dan kelihatan semakin merudum berikutan konflik di Ukraine.

Ia tidak hanya berlaku kepada orang awam di Amerika Syarikat malah turut sama membabitkan kalangan ahli politik dan orang kenamaan khususnya dari parti Demokrat. Keadaan semakin meruncing ketika ini buat Joe Biden disaat kelembapan pertumbuhan ekonomi yang amat ketara berlaku di Amerika Syarikat di samping kegagalan polisi-polisinya yang tidak mendatangkan faedah buat rakyat Amerika Syarikat dan skandal yang membabitkan anaknya Hunter Biden.

Konflik di Ukraine yang diharap dapat melonjakkan sokongan kepadanya telah memakan diri sendiri. Sebagaimana Presiden Amerika Syarikat terdahulu ketika sokongan ke atasnya merudum dengan begitu teruk, hanya terdapat dua pilihan yang mampu melonjakkan sokongan ke atasnya iaitu melancarkan perang dan menyatakan sokongan padu kepada negara zionis Israel.

Ternyata perang di Palestin ketika ini adalah “bonus” besar buat Joe Biden dan parti Demokrat. Jika perang tersebut berjaya dipanjangkan sehingga hujung tahun depan bersempena pilihanraya Presiden Amerika Syarikat dengan kemenangan kepada regim zionis Israel seterusnya berjaya melunaskan normalisasi yang diimpikan negara haram Israel, Joe Biden pasti akan menang dalam pilihanraya tersebut.

Konklusinya,

Kebanyakkan negara-negara di dunia khususnya Barat memandang keji terhadap kumpulan pejuang Palestin ketika ini namun jangan kita Dunia Islam turut sama sebagaimana mereka kerana kita mengetahui sejarah sebenar Palestin dan perjuangan rakyatnya dalam usaha memerdekakan tanah air mereka.

Mungkin pada mereka, biarlah hidup mahupun mati bermaruah. Bermaruah kerana benar dan mempertahan tanah air sendiri. Namun percayalah kebanyakkan negara-negara Asia Barat diperdaya, ditipu, dimanipulasi, dijerut dan dipergunakan dengan begitu licik sekali oleh Barat khususnya Amerika Syarikat dan negara haram Israel atas nama perdamaian berkekalan di Asia Barat mahupun normalisasi hanya untuk kepentingan mereka semata-mata.

Sejarah tidak pernah menipu kerana kelicikan, manipulasi, tipudaya dan mempergunakan adalah darah daging, tradisi dan adat yang telah diamalkan Barat sekian lama. Jangan kita lupa Syarikat Hindia Timur Belanda dan Inggeris, modus operandinya masih sama cuma bahasanya dilunakkan supaya sedap didengar. Tidak lagi penjajah dan menjajah tetapi kerjasama dan perdamaian.

Eratkan perpaduan dan kesatuan, sama-samalah kita menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dalam usaha mereka untuk mempertahan, membebas dan memerdekakan tanah air mereka. Jika merdeka bumi Palestin, Insya-Allah, seluruh Dunia Islam akan bersatu seterusnya akan mencapai kegemilangan dan keamanan yang berpanjangan dan berkekalan.

Malaysia Sejahtera.

YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabngsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.

Artikel juga boleh di akses di Harakahdaily.

Bersama mempertahankan Masjid Al-Aqsa