Oleh : Nooreni Abu Bakar
Kerajaan perlu memberi tumpuan serius isu nelayan asing dan pencerobohan yang berlaku, khususnyad di Dungun dan amnya di Terengganu, yang sudah sekian lama dan saban tahun berlaku.
Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berkata, pelbagai rungutan dan protes telah dibuat oleh para nelayan tetapi semacam tiada apa-apa tindakan yang diambil oleh kerajaan.
Beliau juga meminta agar dikemukakan kajian dan dapatan diperolehi daripada pencerobohan tersebut.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyatakan masalah pencerobohan nelayan asing di perairan negara telah mengakibatkan kerugian hasil laut sehingga RM6 bilion setahun.
Dalam laporan media, Ketua Pangkalan Maritim Kemaman, Leftenan Komanden Maritim Muhamad Rezal Kamal Bashah berkata tangkapan berterusan nelayan asing dalam Ops Pagar sejak awal bulan Jun lalu.
Namun ia tidak berjaya menghalang penceronohan daripada terus berlaku.
Muhamad Rezal berkata, sejak operasi bermula sebanyak 11 buah bot bernilai melebihi RM10 juta dirampasdan menunjukkan bahawa penceroboh semakin banyak memasuki perairan negara.
Manakala, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Irmohizam Ibrahim, berkata pihaknya telah menerima sebanyak 255 laporan daripada nelayan laut akibat pencerobohan dan gangguan nelayan asing.
LKIM juga,menurutnya, menerima banyak aduan nelayan tempatan yang bimbang untuk turun ke laut akibat gangguan bot nelayan asing.
Ia juga menjadi satu isu keselamatan apabila, bot-bot asing itu menghimpit bot nelayan tempatan, dan unjam-unjam serta pukat milik nelayan tempatan dimusnahkan.
Hasil tangkapan nelayan tempatan turut ‘dirompak’ sewenang-wenangnya tanpa dapat berbuat apa-apa.
Justeru, Wan Hassan yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun bangun mencelah ketika persidangan Parlimen pada minggu lalu.
Beliau ketika membahaskan Rang Undang-undang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Pindaan) 2017, mahu kerajaan benar-benar menjaga sempadan negara daripada dibolosi.
Menurutnya, ia bukan hanya kerugian negara dari segi wang ringgit bahkan adalah melibatkan kedaulatan negara Malaysia yang tercinta!




























