KOTA TINGGI – Pengerusi Tetap Muktamar Pemuda PAS Ustaz Kamal Ashaari mendapat serangan jantung ‘ringan’ dan sedang dirawat di hospital selepas dikejarkan kerana sesak nafas.
Timbalannya Dr Ustaz Riduan Mohd Nor memohon semua pihak mendoakan agar Allah memberikan kesembuhan dan kesihatan kepada Ustaz Kamal.
“Doktor kata serangan jantung……..ringan…….in sha Allah, pakat (kita semua) berdoa untuk Ustaz Kamal,”ujar Ustaz Riduan ketika dihubungi.
Sebelum itu, Ustaz Kamal yang mempengerusikan Muktamar Pemuda PAS Kali Ke-55 di Dewan Dewan Choon Moi, di sini, menangguhkan sidang selama 10 minit untuk mendapatkan nasihat kepimpinan yang lebih tinggi.
Beliau berbuat demikian kerana ‘pertikaman lidah’ antara perwakilan ketika membahaskan perkara yang dibangkitkan berkait pemilihan PAS pada tahun lalu yang didakwa tidak sah.
Ia adalah kerana menurut perbahasan para perwakilan berkata, beberapa kawasan di Johor tidak diiktiraf dan perwakilannya dibenarkan mengambil bahagian dalam pengundian
Antara kawasan yang dibangkitkan perwakilan Pemuda PAS dari Shah Alam itu adalah Sembrong, Pengerang, Labis, dan Kulai.
“Saya memohon kepada semua untuk membawa kepada pihak atasan, malah bawa kepada Majlis Syura Ulama.
“Saya mohon beri mandat kepada saya untuk bawa ke peringkat atasan untuk menyiasat dakwaan yang dibangkitkan malam ini, mereka yang ada autoriti buat keputusan,” katanya.
Dalam keadaan menangis, Kamal berkata beliau memberi jaminan kepada pucuk pimpinan PAS malam ini bagi menyelesaikan isu itu.
“Saya akan bawa malam ini kepada kepimpinan atasan, tidak tunggu esok, lusa. Kita tidak ada autoriti.
“Kalau diputuskan kita perlu untuk mengadakan pemilihan semula, kita akan adakan muktamar khas untuk mengadakan pemilihan semula,” katanya.
Kamal kemudiannya dikejarkan ke hospital akibat sesak nafas selepas kekecohan itu diselesaikan sebaik sahaja perwakilan bersetuju meneruskan agenda perbahasan ucapan dasar Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat.










