Berdakwah Adalah Keadilan Islam

90

Oleh : Nooreni Abu Bakar

KUALA TERENGGANU – Berdakwah kepada golongan ‘non-muslim’ adalah antara tanda-tanda keadilan dalam Islam dan menyembunyikan kebenarannya, bermakna menzalimi mereka.

Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat, Dr. Najihatussalehah Ahmad menjelaskan, adil ialah apabila kita menerangkan kebenaran agama suci itu dengan mengenepikan sebarang perbezaan.

“Tugas dakwah kita mestilah meliputi seluruh manusia, jadi kita mesti mencari titik persamaan yang mampu mendekatkan mereka dengan Islam,

“tanpa mengira fahaman politik, agama, bangsa dan warna kulit,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap dalam program ‘Bicara Minda Presiden PAS, Hijrah : Acuan Perpaduan Umat Masyarakat Majmuk’ secara atas talian anjuran Muslimat PAS Negeri Terengganu pada Sabtu, 4 September.

Sementara itu ahli panel kedua, Ketua Muslimat PAS Terengganu, Zarani Othman berkata, Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW adalah agama yang syumul.

“Islam adalah agama yang syumul, yang menyeluruh, merangkumi seluruh kehidupan dan seluruh manusia bukan hanya untuk orang Islam. dan di situlah konsep nasihat menasihati sesama manusia,” jelasnya lagi.