Bendera Putih!

1270

Oleh : Firdaus Wong Wai Hung.

‘Ini semua naratif pembangkang’
‘Kenapa nak kibar bendera putih? Takkan mudah menyerah kalah’
‘Angkat tangan berdoa je, Jangan angkat bendera putih!’

Pelbagai naratif saya baca di medsos. Sangat menarik dengan masing-masing membawakan hujah kepada pandangan kepada kempen mengibarkan bendera putih bagi yang memerlukan bantuan bekalan asas.

Tidak kurang ada yang marah kepada ahli politik kerana ‘hijack’ kempen yang dimulakan rakyat dan menyoal kenapa bukan ahli politik yang memulakan kempen sebegini tetapi sibuk berebut kuasa.

Saya tiada kuasa dan tiada hak menentukan naratif siapakah yang benar dan siapakah yang salah. Cuma saya berminat berkongsi satu sisi yang hampir luput dari masyarakat moden.

“Ah sudah, nak cakap pasal Islam ada ajar pasal bendera putih la tu”

Tidak. Tidak. Saya bukan nak ulas Islam ajar atau tidak letak bendera putih untuk yang memerlukan bantuan.

“Habis tu? Nak cakap pasal apa?”

Bila nampak kempen kibarkan bendera putih ini, saya kagum dengan kreativiti masyarakat dalam membantu satu sama lain. Kempen bendera putih itu juga membuatkan saya tersenyum memikirkan bagaimana BERWAWASANNYA Nabi Muhammad Sallalahu Alaihi Wasalam bukan sekadar dalam bab ketuhanan tetapi juga dalam kehidupan bermasyarakat.

Bagaimana Rasullullah Sallalahu Alaihi Wasalam mengingatkan kita akan tanggungjawab sebagai manusia yang bermasyarakat;

“Tidak termasuk orang yang beriman, orang yang kenyang sementara jiran tetangganya kelaparan.” ⁣ ⁣
(HR al-Tabarani, no. 12579)⁣

Ya. Baginda mengatakan bahawa kita tidak orang beriman kalau kita tidur dalam kekenyangan sedangkan jiran kelaparan. Bagaimana Baginda mengajar agar kita perlu prihatin akan masyarakat sekeliling kita.

“Wahai Abu Dzar ! Jika kamu masak sayur, maka perbanyaklah kuahnya dan perhatikanlah tetanggamu”.
[HR Muslim no. 2625]

Bagaimana Islam memberikan perhatian kepada keperluan jiran sehinggakan Nabi merasakan mereka adalah seperti waris;

“Jibril terus menerus berwasiat kepadaku untuk berbuat baik terhadap tetangga, sehingga aku mengira dia akan menjadikannya sebagai ahli waris”.
[HR Al-Bukhari (6014) dan Muslim (2624)

Islam mengajar umatnya untuk sentiasa ambil tahu akan keperluan jiran tetangganya. Mereka juga mempunyai hak terhadap kita. Mungkin kita belum kaya tetapi jadilah insan yang kaya jiwa dan insan yang terbaik dengan menjadi jiran yang terbaik;

“Sebaik-baik teman di sisi Allah adalah orang yang paling baik diantara mereka terhadap temannya. Dan sebaik-baik tetangga di sisi Allah adalah orang yang paling baik di antara mereka terhadap tetangganya”.
[HR Tirmidzi no (1944)]

Bendera putih barangkali ikhtiar terakhir mereka yang memerlukan. Bagi yang perlu, tiada apa yang perlu dimalukan.

Namun suatu muhasabah buat kita andai jiran kita menaikkan bendera putih. Itu petandanya kita masih belum menjadi Muslim yang terbaik di sisi Islam. Kita kurang prihatin akan keperluan jiran tetangga kita. Waktu bermuhasabah. Waktu untuk kita membantul satu sama lain.

Usah tuding jari pada kerajaan & ahli politik. Apa yang pasti, mereka akan dihisab sebagaimana kita juga akan dihisab di Padang Mahsyar. Kita tidak perlu menjawab untuk mereka kenapa beria-ia mahu menjadi wakil rakyat tetapi rakyat tidak terjaga namun kita mungkin akan ditanya tentang hak jiran tetangga yang kita tidak tunaikan.

Yang terputus bekalan asas, boleh mohon di https://mrmcare.com/food/ dan kami akan proses secepat mungkin dan bantu semampu mungkin dengan dana terhad yang kami miliki. Moga Allah ampuni kekurangan kami dan terima sedikit usaha kita bersama. Allahuma Ameen