Oleh : Muhammad Khalil Abdul Hadi
Di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam Kitab Ilmu daripada Abdullah bin Amru bin Alaas, Nabi s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
“ Sesungguhnya Allah tidak memegang ilmu dengan menariknya daripada hamba-hambaNya, akan tetapi Allah memegang ilmu dengan memegang ( mematikan ) ulama sehingga tidak ada lagi orang alim lalu manusia mengambil ketua-ketua yang jahil ( sebagai ) rujukan; orang bertanya kepada mereka dan mereka memberikan fatwa ( dalam perkara ugama ) mereka sesat dan mereka menyesatkan orang lain “.
Hari ini cukup seminggu pemergian almarhum Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat, seorang alim yang menghabiskan riwayat hidupnya untuk Islam samaada menyebarkan ilmu kepada masyarakat atau berjuang untuk memastikan Islam terlaksana di dalam masyarakat.
Jika sekiranya kematian seorang doktor perubatan ditangisi kerana ilmu dan jasanya kepada masyarakat yang boleh menyelamatkan jasad daripada penyakit apatah lagi kehilangan seorang ulama yang jasanya bukan sahaja untuk menyelamatkan jasad manusia bahkan menyelamatkan jasad, aqal dan rohaninya daripada azab neraka.
Kehilangan seorang ulama tidak sama dengan hilangnya wang ringgit dan harta benda. Ianya boleh dicari ganti. Kehilangan seorang ulama bermakna hilangnya satu cahaya yang boleh membawa manusia kepada hidayah ilahi.


Sudah banyak pujian yang dihemburkan kepada almarhum Tuan Guru; memang itupun selayaknya. Dan ini menunjukkan salah satu tanda-tanda husnulkhaatimah. Sebaik-baik pujian ialah selepas seseorang itu meninggal dunia kerana pujian yang diberikan ketika hidup belum tentu bagaimanakah kesudahannya.
Alhamdulillah kita semua melihat bagaimana kesudahan almarhum Tuan Guru sehingga ke akhir hayat memberikan khidmat kepada ugamaNya. Mudah-mudahan Allah menerima segala amalan almarhum Tuan Guru dan mengampunkan dosa-dosanya dan menjadikan ilmu yang ditinggalkannya menjadi saham pahala yang berpanjangan kepadanya di alam barzakh.
[Muhammad Khalil Abdul Hadi adalah Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia]





























