Bekukan Juga Lesen Premis Hiburan Dan Rumah Urut

1136
http://buletinonline.net/images/stories/aberita22/kamaruzaman.jpg

Akhir-akhir ini, premis-premis pusat siber tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Pusat-pusat siber ini dilihat beroperasi dengan cara yang agak meragukan. Ada di antara pusat siber ini beroperasi melebihi waktu operasi yang dibenarkan dan ada juga yang beroperasi di sebalik cermin yang gelap. Selain dari menawarkan khidmat layaran internet, ada di kalangan pusat siber ini beroperasi hanya untuk menawarkan khidmat permainan komputer semata-mata.

DPPWP melihat gejala ini semakin membimbangkan. Premis pusat siber ini mendapat sambutan hangat daripada golongan remaja bersekolah tanpa mengira umur. Namun apa yang lebih membimbangkan lagi ialah pusat-pusat siber ini menjadi pusat perjudian haram berselindung di sebalik cermin-cermin gelap dan mereka ini turut membenarkan pelajar-pelajar sekolah masuk.

Pemantauan secara berterusan diperlukan bagi membendung gejala pusat siber menjadi pusat judi. Walaupun syarat lesen pusat siber ini tidak membenarkan premis menggunakan cermin gelap dan beroperasi tidak lebih dari jam 12 tengah malam, namun masih banyak lagi pusat siber yang berbuat demikian. Ketegasan daripada pihak penguasa DBKL amatlah ditagih dalam membendung aktiviti yang tidak bermoral ini.

DPPWP juga ingin menyarankan kepada pihak DBKL agar turut mengambil langkah yang sama terhadap pusat-pusat hiburan dan rumah urut yang melata di ibu negara ini. Ini bertujuan bagi membendung aktiviti yang tidak bermoral dan pelacuran.

Saban hari kita membaca di dada-dada akhbar mengenai penangkapan pelacur-pelacur di pusat-pusat hiburan dan rumah-rumah urut. GRO-GRO warga asing yang berkhidmat di premis-premis ini bukan sahaja tidak mempunyai visa yang sah, bahkan ada yang diseludup dari negara jiran. Perkhidmatan yang ditawarkan pula bukan sahaja sekadar melayan pelanggan tetapi turut menawarkan khidmat seks. .

Sebenarnya, premis-premis seperti inilah yang seringkali melanggar syarat-syarat yang ditetapkan. Walaupun serbuan demi serbuan dilakukan oleh pihak DBKL, namun operasinya semakin mendapat sambutan bak pisang goreng yang sedang panas. Bahkan berlaku pula penambahan premis tanpa disedari! Tindakan kerajaan Selangor yang membekukan sebarang permohonan lesen bagi rumah urut, pusat hiburan dan pusat siber semenjak 2008 boleh dijadikan contoh oleh pihak DBKL. Ia sekaligus dapat membendung penambahan premis-premis ini yang tidak mengikut peraturan.

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan