Bekas AJK UMNO Bahagian Bukit Gantang Masuk PAS

1043

Dari menyokong Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Pak Man atau nama sebenarnya Abdul Rahman,60, adalah bekas Ahli Jawatan Kuasa (AJK) UMNO bahagian Bukit Gantang yang berjuang bersama dengan beberapa tokoh UMNO termasuklah Adun BN Terong masa kini.

Beliau yang ditemui di rumahnya berkata, cukuplah dalam hidup dipermain-mainkan oleh pemimpin UMNO yang hanya mementingkan diri semata-mata.

http://buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2009/04/pakman.jpg“Semasa sebelum menang dalam pemilihan, dia orang datang ke rumah membawa saya ke sana ke mari,untuk berkempen, apabila mereka dah menang, mereka tak kenal pun saya” katanya.

Menurutnya lagi, bukan hanya pemimpin UMNO negeri bahkan pemimpin peringkat nasional termasuklah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri , Dato’ Nazri Abdul Aziz pernah mengadakan program di rumahnya.

“Dato’ Nazri pernah datang buat program pemuda dan terjun mandi di sungai belakang rumah saya”, katanya sambil menunjukkan ke arah anak sungai tersebut.

Katanya waktu beliau di dalam kesusahan, tidak ada pemimpin UMNO yang datang menghulurkan bantuan, sambil menunjukkan kaki kiri palsu yang dipakainya.

“Kaki palsu ini saya beli dengan duit simpanan KWSP saya sendiri, tidak ada bantuan dari mana-mana pihak”,ujarnya

Beliau memberitahu kakinya terpaksa dipotong setelah mengalami kecederaan parah di dalam kemalangan jalan raya, ketika menuju ke tempat kerja, beberapa tahun dulu.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa kerana semasa menjadi ahli UMNO dan memegang jawatan, ibadatnya kepada ALLAH tidak terjaga.

“Sembahyang pun saya tak kesah, macam tak sembahyang, sibuk tipu sana tipu sini” katanya yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Kampung selama sepenggal.

“Hari ini adalah hari terakhir untuk saya bagi tahu tentang PAS kepada penduduk kampung dan berkempen mengundi calon PAS, sebelum ketibaan hari mengundi esok”, katanya di hadapan Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato’ Haji Mahfuz Omar dan ahli Parlimen Pasir Putih, Ustaz Mohd Ali yang menziarahi beliau di Kampung Tengah Temerlok dalam Dun Terong, petang semalam.