Beberapa Hadis Tentang Ramadan

1535

Berpuasa di Bulan Ramadhan kerana Allah SWT

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda : Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan ketaatan kepada Allah, serta mengharapkan keredhaannya, akan diampunkan semua dosanya yang telah lepas.(al-Bukhari dan Muslim)

Huraian Hadith:
Orang yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan ikhlas serta mengharapkan keredhaan Allah SWT akan diampunkan segala dosa-dosa kecilnya.
Ramadhan merupakan bulan yang paling mulia di dalam Islam kerana bulan ini Allah SWT menurunkan al-Quran al-Karim, berlakunya malam “Lailatulqadar” dimana malam tersebut lebih mulia dan berkat daripada seribu bulan.
Doa orang yang berpuasa tidak akan ditolak oleh Allah SWT sehinggalah ia berbuka, oleh itu hendaklah mereka yang berpuasa memperbanyakkan doa demi kebaikan hidup mereka di dunia dan juga di akhirat.

Hindari Perkara Maksiat ketika Berpuasa

Daripada Abu Hurairah RA lagi katanya bahawa Nabi SAW bersabda : “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan keji lagi buruk sedangkan dia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan di sisi Allah selain daripada lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.”(al-Bukhari)

Huraian Hadith :
Orang yang berpuasa sedangkan mereka tidak memelihara lidah (percakapannya) dan juga masih melakukan maksiat, tidak akan diberi pahala oleh Allah SWT ke atas puasa mereka selain lapar dan dahaga sahaja.
Puasa yang paling istimewa di sisi Allah SWT ialah mereka yang dapat menahan lapar dan dahaga serta menjaga pancaindera mereka daripada melakukan maksiat dan dosa disamping menambahkan amal ibadat lain sepanjang mereka berpuasa.

Berbuka Puasa Mengikut Keperluan

Daripada Umar bin al-Khattab RA katanya, Rasulullah SAW bersabda : “Apabila malam telah menghadap ke sebelah timur dan siang pula telah berlalu daripada barat kemudian matahari telah terbenam bermulalah waktu orang yang berpuasa itu berbuka.” (al-Bukhari dan Muslim)

Huraian Hadith :
Rasulullah SAW telah pun mengajar umatnya akan cara-cara menentukan waktu berbuka puasa, melalui perbuatan Baginda sendiri ataupun petunjuk lain seperti berpandukan peredaran matahari dan sebagainya.
Orang yang berpuasa dituntut menyediakan bahan makanan atau minuman sekadar keperluan sahaja dan tidak melampaui batasan sehingga sampai berlaku pembaziran.

Menjaga Lidah ketika Berpuasa

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda : “Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau diajak bermusuhan, maka hendak ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini”.(al-Bukhari dan Muslim)

Huraian Hadith :
Kelebihan orang yang berpuasa bukan sahaja terletak kepada menahan makan dan minum serta mengerjakan perkara-perkara yang membatalkan puasa, tetapi menjaga setiap anggota daripada melakukan perkara yang mengosongkan pahala puasa. Inilah yang sangat dikehendaki oleh Islam, seperti menjaga lidah dan lainnya.
Orang yang berpuasa hendaklah sabar menerima dugaan daripada Allah SWT, sekiranya mereka dimaki hamun dan diajak berkelahi oleh seseorang maka hendaklah ia berkata “aku berpuasa”.
Untuk mengelak daripada melakukan perkara yang merosakkan puasa, maka (seseorang yang berpuasa) digalakkan oleh Islam agar banyak beristighfar kepada Allah, berzikir, berselawat dan sebagainya.

Hikmah Menyegerakan Berbuka Puasa

Daripada Sahl bin Saad RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Orang yang menyegerakan berbuka puasa setelah masuk waktunya mendapat kebaikan yang berterusan”. (al-Bukhari dan Muslim)

Huraian Hadith :
Orang yang berpuasa disunatkan bersegera berbuka setelah diyakini masuk waktu maghrib, sebaliknya, makruh jika sengaja dilewat-lewatkan tanpa ada keuzuran syarie.
Hukum sunat disegerakan berbuka puasa ini, tentulah mempunyai hikmah yang tertentu, antaranya ialah supaya orang yang berpuasa dapat bersegera menunaikan ibadah lain seperti sembahyang maghrib, membaca al-Qur’an dan sebagainya.

Berpuasa di Bulan Ramadhan

Daripada Abu Hurairah RA lagi bahawa Rasulullah SAW bersabda : Apabila sampai bulan Ramadhan, pintu-pintu syurga semua dibuka, pintu-pintu neraka pula ditutup dan diikat serta dibelenggu syaitan dan iblis.(al-Bukhari dan Muslim)

Huraian Hadith :
Ramadhan merupakan bulan yang paling banyak mempunyai kelebihannya bagi orang yang berpuasa, antaranya ialah :
Semua pintu syurga dibuka dan orang yang telah meninggal dunia dihentikan azab mereka buat sementara.
Pintu-pintu neraka pula ditutup, oleh itu orang yang mati dibulan puasa terlepas daripada azab kubur.
Pada bulan puasa juga dirantai serta dibelenggu syaitan dan iblis daripada mengganggu dan menggoda orang yang berpuasa.
Digalakkan oran yang berpuasa agar berlumba-lumba membuat kebajikan dan kebaikan, kerana setiap kebaikan akan diberi ganjaran pahala yang berganda-ganda.

Kelebihan Menyegerakan Berbuka Puasa

Daripada Abu Hurairah RA lagi bahawa Rasulullah SAW bersabda : “ Allah ‘Azza wa Jalla berfirman dalam hadith qudsi, aku sangat mengasihi hamba-hambaku yang bersegera berbuka puasa”.
(Hadith Riwayat at-Tirmizi katanya hadith ini hadith hasan)
Huraian Hadith:
Orang yang berpuasa dan paling dikasihi Allah SWT ialah mereka yang bersegera berbuka apabila sampai waktunya, kerana mereka mengikut sunnah Rasulullah SAW.
Untuk mendapat keredhaan Allah SWT di dunia dan juga di akhirat maka hendaklah kita berpegang dengan ajaran al-Qur’an dan juga hadith Rasulullah SAW.
Sumber : Kitab Riyadhus Salihin
Sumber : Kitab Riyadhus Salihin (e-hadith JAKIM)

Berpuasa di Bulan Ramadhan kerana Allah SWT

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda : Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan ketaatan kepada Allah, serta mengharapkan keredhaannya, akan diampunkan semua dosanya yang telah lepas.
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Huraian Hadith:
Orang yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan ikhlas serta mengharapkan keredhaan Allah SWT akan diampunkan segala dosa-dosa kecilnya.
Ramadhan merupakan bulan yang paling mulia di dalam Islam kerana bulan ini Allah SWT menurunkan al-Quran al-Karim, berlakunya malam “Lailatulqadar” dimana malam tersebut lebih mulia dan berkat daripada seribu bulan.
Doa orang yang berpuasa tidak akan ditolak oleh Allah SWT sehinggalah ia berbuka, oleh itu hendaklah mereka yang berpuasa memperbanyakkan doa demi kebaikan hidup mereka di dunia dan juga di akhirat.

Sumber : Kitab Riyadhus Salihin