Bismillah. Sedang Umno dalam keadaan sangat goyah, bergelut, bermasalah dengan ahli-ahli mereka sendiri, Menteri Besar Terengganu dilihat seperti mengambil jalan selamat dengan membina ‘political mileage’ sendiri, membatalkan serta merta projek naik taraf Hentian Bas Kuala Terengganu (HBKT) yang mana jika diteruskan, akan mengakibatkan kira-kira 500 orang peniaga kecil Melayu Islam terjejas. Ini kerana apabila dipindahkan, maka masalah perpindahan, penyimpanan barang, tempat yang kurang selamat dan sebagainya akan menjadi perkara yang merunsingkan peniaga.
Saya yang mengikuti perkembangan ini, sangat bersetuju dengan kenyataan Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu, YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim bahawa projek ini bukanlah sepatutnya diutamakan kerajaan ketika mana rakyat sedang bergelut dengan ekonomi yang tidak menentu hasil daripada kegagalan kerajaan Umno sendiri menguruskannya. Ditambah dengan dua tahun tempoh perpindahan itu yang mungkin atas faktor-faktor yang dinyatakan itu, dibimbangi akan ada peniaga-peniaga itu gulung tikar kerana tidak mampu menyerap kesulitan-kesulitan yang baru itu. Tahniah Pemuda PAS Terengganu, atas desakan dan kerjasama dengan para peniaga, maka kerajaan membatalkan projek ini.
Namun saya memikirkan isu ini dari sudut pandang yang lain. Terdahulu ketika kira-kira lima bulan setelah dilantik menjadi Menteri Besar, kerajaan pimpinan Dato’ Ahmad Razif melalui Ir Rosli Othman yang ketika itu Exco Kerja Raya dan Pengangkutan Negeri, telah mengumumkan untuk membina sebuah Terminal Bersepadu di Bukit Besar. Manakala Datuk Bandar ketika itu, Datuk Azlan Dagang berkata jumlahnya kira-kira RM63 juta. Ianya bagi tujuan untuk menaik tarafkan sistem pengangkutan awam di Terengganu kata mereka dua tahun lalu. Persoalannya, untuk apa pula rancangan menaik taraf HBKT sebanyak RM14 juta itu jika sudah lama merancang membina terminal di Bukit Besar? Kita sememangnya faham akan HBKT itu boleh dijadikan sebagai stesen bas henti-henti. Tetapi mengapa sampai RM14 juta kos naik taraf dan perlu dipindahkan?
Saya risau, mungkin hal ini tiada dalam perancangan mendalam kerajaan, tetapi hanya bagi memberikan imej seorang MB yang baik, maka segera dibatalkan projek ini yang dimaklumkan hanya disember 2015. Sedangkan MB sendiri dengan jelas menyatakan akan menghentikan projek-projek yang tidak segera, polisi mengurangkan belanja kerajaan kerana kekangan ekonomi sekarang dan juga bagi menjaga kepentingan rakyat bawahan. Jadi kenapa isytihar perlu teruskan projek ini dengan tergesa-gesa kemudiannya membatalkannya segera?
Perkara kedua yang saya bimbang ialah berkemungkinan perniagaan yang dijalankan oleh para peniaga di HBKT ini jauh lebih murah dan banyak pilihan barangan bagi rakyat kebanyakan, ia menjadi sebab utama Paya Bunga Square tidak mendapat sambutan. Saya pernah menanyakan soalan berkaitan dengan PB Square ketika di Sidang DUN Terengganu tahun lalu. Sehingga Jun 2015, sebanyak 63 buah lot telah disewa daripada 88 lot yang ada. Seramai 54 peniaga Melayu dan 9 peniaga Cina dengan kos sewaan sebanyak RM129 ribu sebulan dimana sewa ini adalah diberikan potongan sebanyak 50 peratus (bayangkan jika sewa penuh). Dilaporkan lagi, walaupun sudah giat dilakukan promosi, PB Square masih tetap kurang pengunjungnya. Saya harap ini bukanlah salah satu cara menaikkan jumlah pengunjung ke PB Square, dengan mengalihkan peniaga-peniaga kecil Melayu Islam dari HBKT ini.
Namun syukurlah semua itu sudah berakhir kerana semangat tidak mahu mengalah rakyat terhadap sikap tidak cakna kerajaan negeri terhadap peniaga-peniaga kecil, mereka bersama-sama dengan Pemuda PAS Terengganu telah berjaya menghalang projek ini. Tahniah peniaga kecil, rakyat dan Pemuda PAS. Andalah wira sejati. Wallahua’lam
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
24 Jamadil Awwal 1437 bersamaan 4 Mac 2016





























