Oleh : Khairul Nizam Abdullah
KUALA NERUS – Bantuan ‘One-Off’ kerajaan Umno dan Barisan Nasional tidak membantu rakyat mengekang bebanan kos sara hidup semakin meningkat masakini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Pasu, Ustaz Ridhuan Hashim berkata, kenaikan perbelanjaan harian rakyat yang begitu ketara hari ini adalah hasil daripada beberapa dasar dilaksanakan kerajaan, seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan lain-lain.
Katanya, walaupun kerajaan memperuntukkan jutaan ringgit untuk pelbagai dana, namun tahap kehidupan rakyat masih di paras yang rendah.
“Sepatutnya kerajaan membuat satu tindakan secara ‘holistik’ (menyeluruh). Bukan sekadar dengan hanya bantuan ‘One Off’ seperti ini,
“kerana bantuan yang seperti ini tidak banyak membantu rakyat yang dalam kesusahan,
“Sebab itu kerajaan perlu melihat secara keseluruhan bagi mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan”, tegas beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai program Semarak Kasih Ramadan yang diadakan di Dewan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Teluk Pasu, hari ini Jumaat 9 Jun, disini.
Sebelum itu, ketika berucap dalam majlis yang sama, beliau melahirkan rasa bimbang dengan ancaman gejala sosial yang sangat dasyat khususnya di kalangan muda mudi .
“Hari ini kita dilaporkan kes anak luar nikah yang melibatkan anak-anak remaja sehingga mencecah angka 50 ribu setiap tahun ,
“Sebab itu lah kita tidak boleh lari daripada hidup sebagai hamba berpandukan petunjuk yang di bawa oleh nabi SAW,
“Kita kena hidup dalam kerangka sebagai seorang muslim dan muslimah yang sebenar iaitu kerangka sebagai seorang hamba kepada Allah SWT, tak boleh kita hidup berdasarkan hawa nafsu kita semata-mata,
“Mudah -mudahan ia menatijahkan suatu yang positif kepada kehidupan kita selepas dari ini insya Allah”, harap beliau.











