KUALA LUMPUR – Di sisi Dataran Merdeka, walaupun Jalan Raja dan Dataran bersejarah itu telah ditutup sejak jam 12.00 tengah malam, semalam, namun pada kira-kira jam 11.42 sebentar tadi, sudah ada pergerakan di situ.
Wakil KAMI di lokasi tersebut, Naraza Muda berkata “sudah ada pergerakan pendemo di jalan-jalan berhampiran.”
Dataran Merdeka sudah dikawal dengan ratusan polis dan penguatkuasa DBKL, kebanyakan peserta bantahan sudah berada sekitar lokasi, di kedai-kedai dan kaki lima, menunggu masa pada jam 2.00 petang.
Sementara itu, Pengerusi KAMI Dr Azman Ibrahim berkata, rata-rata rombongan yang datang dari Terengganu mengakui, dalam suasana kepayahan hidup sekarang ini adalah satu kepayahan untuk membawa masyarakat kampung untuk datang ke Ibu Kota.
“Tetapi mereka melupakan kepayahan ini demi untuk bersama menyuarakan bantahan terhadap TPPA.
“Hakikat yang perlu diketahui, ramai dari kalangan mereka hadir dengan poket yang hampir kosong terutamanya masyarakat penoreh getah yang sekarang terpaksa berhutang untuk sesuap makanan,”ujarnya, yang menghantar mesej dari lokasi berhampiran Sogo.
Katanya, “walau dengan kepayahan, TPPA wajib dibantah. Lagi dibiar keadaan rakyat akan semakin parah.”
“Sekiranya kerajaan tetap berdegil untuk menandatanganinya, sekurang-kurangnya kita tidak disumpah oleh anak cucu suatu hari nanti lantaran kita telah menyuarakan bantahan,”tambahnya
Beliau yang bertugas sepanjang Demonstrasi Membantah TPPA bersama Kor Amal Medik berkata, Kor yang baru diaktifkan itu, bersedia dengan anggota dan kelengkapan.
Kor tersebut berada di semua lokasi berkumpul, masjid Jamek, SOGO dan Masjid Negara serta Padang Merbok.











