Banjir Luar Biasa; ADUN Chukai Mungkin Tidak Dapat Hadir Sidang DUN

2009

KEMAMAN – [Lihat Video] Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai, Haji Hanafiah Mat berkata, berkemungkinan besar beliau tidak dapat menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri yang akan diadakan bermula pada Isnin, 9 Disember depan.

Kisah sedih rakyat DUN Chukai dan Kawasan Kemaman yang dilanda badai gelombang pertama banjir turut sama dirasai oleh wakil rakyatnya yang terpaksa membeli pakaian dan kasut baru, sekiranya mahu menghadiri sidang DUN itu.

Rasa dukacitanya sebagai wakil rakyat, tidaklah ‘sesedih’ dan terharunya beliau, apabila melihat ribuan warga DUN Chukai kehilangan harta benda akibat ditenggelami banjir besar itu.

“Saya sangat terharu dan sangat sedih kerana sebahagian besar rakyat saya terdiri dari kalangan miskin dan sederhana yang banyak terlibat dengan musibah banjir ini seperti di Taman Perumahan Fikri, Taman Perumahan Mak Lagam, Kampung Gong Limau, Kampung Gong Pauh, Kampung Pengkalan Pandan dan banyak lagi.

“Walau pun rumah saya sendiri (barangan) ‘hancur’ dan rosak segala peralatannya, tetapi hati saya lebih hancur lagi bila melihat rakyat saya yang susah dan lebih memerlukan,”ujarnya.

Hanafiah berkata, beliau yang sibuk menolong rakyat berpindah tidak sedar rumahnya sendiri telah dinaiki air dan akhirnya terpaksa berpindah ke kawasan selamat.

Apabila pulang pada jam 5 pagi, air telah memasuki rumahnya sehingga paras lutut dan sekelip mata, naik mendadak menyebabkan beliau tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan kecuali sehelai baju dan seluar ‘track’.

“Pada peringkat awalnya, saya pergi membantu mangsa banjir di beberapa tempat dalam Dun Chukai ini. Apabila saya balik rumah, rupa-rupanya rumah saya juga dinaiki air hingga ke paras pinggang dan tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah.

“Semalaman saya tidak tidur kerana turut sama membantu memindahkan mangsa-mangsa banjir ke pusat-pusat pemindahan,” katanya dengan nada keletihan.

Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Chukai menyifatkan gelombang banjir kali ini luar biasa dan berganda berbanding tahun lalu.

Menurutnya, sebahagian besar rakyat masih terkejut kerana mungkin ada yang pertama kali mengalami musibah banjir.

“Gelombang banjir di Chukai kali ini sangat luar biasa dan tanpa diduga dia (air) datang dengan tiba-tiba dan menyebabkan orang ramai terkejut hingga sebahagian besar dari mangsa banjir tidak sempat untuk memindahkan barangan di rumah termasuk dokumen-dokumen penting.

“Banjir kali ini berlaku pada waktu malam ketika hujan lebat dan banyak tempat-tempat yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air tetapi kali ini berlaku banjir besar.

“Rumah saya sendiri air naik hingga ke paras pinggang dan kesemua barangan dalam rumah rosak dan musnah. Saya rasa kerugian kepada semua mangsa banjir besar nilaiannya,” jelas Hanafiah ketika ditemui di bilik gerakan operasi banjir PAS Kemaman, di bangunan PAS Kawasan Kemaman, pada Rabu 4 Disember.

Beliau turut berharap agar penduduk yang terbabit dapat bersabar serta menjadikan musibah banjir itu sebagai ujian Allah Ta’ala.

“Saya harap mereka bersabar dan menyerahkan ini kepada Allah SWT. Ini merupakan satu ujian yang mungkin untuk membersihkan diri kita atau menambahbaik diri kita di sisi Allah Ta’ala,”pesan beliau kepada sluruh warga DUN Chukai.

Menurut Hanafiah, air bah luar biasa itu menyebabkan beberapa pusat pemindahan mangsa banjir juga turut dinaiki air dan terpaksa dipindahkan buat kali keduanya.

Malah, katanya lebih mendukacitakan, tempat yang disediakan oleh PAS untuk memasak makanan untuk keperluan mangsa banjir juga dinaiki air hingga banyak barangan rosak.

Sehubungan itu, beliau mendakwa kelibat pemimpin politik Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak kelihatan ketika rakyat kesusahan banjir.

“Sehingga hari ini (4 Disember), saya belum nampak kelibat pemimpin politik Umno-BN yang turun membantu rakyat kecuali di kalangan kakitangan kerajaan seperti pasukan Bomba dan Penyelamat (Bomba), anggota Rela, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Polis, kakitangan JKR, Majlis Perbandaran Kemaman (MPk) dan sukarelawan Jabatan Amal (Unit Amal).

“Pemimpin kerajaan yang dikatakan berslogan ‘Rakyat Didahulukan’ itu belum kelihatan turun ‘padang’ untuk membantu rakyat,” tegasnya.