Banjir ; Lima PPS Dibuka Di Kijal

304

Oleh : Pyang Mamat

KEMAMAN – Banjir gelombang kelima turut melanda Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dimana sebanyak lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diaktifkan berikutan hujan yang berterusan semenjak tiga hari lepas.

Menurut Timbalan Ketua Keselamatan PAS DUN Kijal, Razali Awang PPS yang mula dibuka adalah PPS di Balairaya Kampung Padang Kemunting diikuti dengan empat lagi PPS lain disini.

“Kami bergegas ke Kampung Jong Belaboh setelah menerima laporan banjir daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) disana.

“PPS di Kampung Padang Kemunting segera beroperasi akibat peningkatan mangsa banjir yang perlu dipindahkan setelah mendapat kebenaran daripada Penghulu Mukim,” katanya.

Beliau ditemui ketika mengiringi Pengarah (MTD) PAS DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh mengharungi banjir ke rumah mangsa di Kampung Jong Belaboh pada 25 Februari.

Berikutan itu, empat lagi PPS yang dibuka setakat hari ini iaitu Balairaya Kampung Padang Kubu sebanyak 37 keluarga terlibat, Sekolah Kebangsaan (SK) Ibok sebanyak 9 keluarga, Dewan Sivik Kijal 4 keluarga dan SK Telok Kalong sebanyak 70 keluarga.

Turut bersama dilokasi ialah pasukan Bomba yang turut memberi bantuan memindahkan mangsa ke pusat pemindahan banjir.