KUALA TERENGGANU — Kerajaan PAS mengambil langkah proaktif menghidupkan semula Kompleks Kakitangan Kastam di Gawi, Kenyir yang terbiar sejak 2015 selepas projek Zon Bebas Cukai tidak diteruskan.
Pengerusi Lujnah Pendidikan PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Satiful Bahri Mamat, berkata keputusan menggunakan kompleks itu sebagai kampus baharu Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) dapat memanfaatkan aset kerajaan negeri yang lama kosong.


“Sayang kalau dibiarkan begitu sahaja. Jadi kita beri nafas baharu kepada bangunan ini untuk dijadikan kampus KQT,” katanya dalam laman sosialnya, semalam.
Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, kerja-kerja penyediaan fasiliti sedang berjalan dan dijangka siap April 2026, manakala pengambilan pelajar pertama bermula Jun 2026.


Langkah tersebut juga katanya, akan membantu menyelesaikan isu penempatan pelajar di kampus sedia ada di Padang Midin serta memenuhi syarat infrastruktur bagi usaha menaik taraf KQT menjadi kolej universiti.
“Selepas siap nanti, KQT akan beroperasi di dua lokasi iaitu Padang Midin dan Kompleks Kastam Gawi,” jelasnya.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan warga KQT atas kerjasama menjayakan projek penting ini.




























