Di sektor swasta kami bayar cukai pendapatan. Kami bayar lesen pendaftaran klinik. Kami bayar KWSP dan Perkeso. Kami bayar Lesen Perakuan Amalan Tahunan. Kami bayar lesen Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Kami bayar syarikat perlupusan sisa klinikal. Kami bayar syarikat pembentungan. Kami bayar lesen premis kerajaan tempatan.
Kami juga beli barangan dan ubatan dengan GST. Belum dikira lagi pelbagai agensi termasuk agensi kerajaan yang mari minta derma.
Setiap tahun datang Penguatkuasa Jabatan Kesihatan, Farmasi malah Jabatan Kastam pun turut bertandang. Ada ketikanya LHDN mencemar duli bertandang buat audit. Terbang lagi kertas kepala agong. Itulah kami sektor swasta.
Duit caruman KWSP yang dicarumkan oleh sektor swasta berkali ganda lebih banyak daripada caruman sektor lain. Duit kami di KWSP inilah yang digunakan untuk melabur sampai ke US. Cukai pendapatan kami di swasta juga berkali ganda lebih banyak dari sektor awam.
Sektor swasta memang tulus dan ikhlas. Memberi tanpa memikirkan untuk menerima. Kita ditekan dan dipaksa untuk membayar itu dan ini demi pembangunan negara. Kita rela walaupun dipergunakan.
Biarlah orang lain sehinggakan Tok Batin pun tersenyum puas dapat bahagian masing-masing dalam Bajet 2018, kami di sektor swasta tak perlukan semua itu.
Perdana Menteri sudah sangat menghargai sektor swasta apabila cuti bersalin pekerja swasta dicadangkan supaya ditambah menjadi 90 hari. Nak apa lagi?
Ramai yang ejek bila saya tulis hal rungutan pekerja sektor swasta berkaitan Bajet 2018.
Kata mereka ini, tak kan kerajaan nak kena bagi bonus kepada sektor swasta seperti yang diterima penjawat awam?
Saudara, ada banyak cara pekerja sektor swasta boleh diraikan. Antaranya PM boleh umumkan;
“Bagi menghargai sumbangan pekerja sektor swasta kepada negara maka saya dengan ini mengumumkan tambahan perlepasan cukai khas bagi tahun taksiran 2017 berjumlah RM1500 kepada semua kakitangan sektor swasta. Ini adalah satu sejarah dalam pembentangan bajet negara!”
1500 bukannya banyak dan tak cukup pun untuk makan sebulan. Tapi ia akan membuatkan kakitangan swasta rasa dihargai.
Kalau ada 1 juta kakitangan awam yang BN berhajat kepada undi mereka, jangan lupa di sana paling kurang ada 3 juta lagi pekerja swasta. 3 juta ini sedang memerhatikan dan menilai lantas nanti mereka akan membuat keputusan atas kertas undi. Jangan sampai mereka rasa bahawa mereka adalah warga kelas 3.
Dr Azman Ibrahim
30 Oktober 2017





























