Awas Musuh Halus Anti Islam

136

Ibn Khaldun RA, seorang ilmuwan Islam yang tersohor di seluruh dunia menegaskan dalam karyanya, al-Muqaddimah:

“Bangsa yang lemah itu mudah terpengaruh dengan bangsa yang kuat (yang menjajahnya), sehingga terikut cara hidupnya dan berfikir. Termasuklah juga budaya dan bahasa, khususnya dalam aspek negatif yang tidak membantu untuk memperkasakan umatnya sendiri.”

Bahkan, ada dalam kalangan mereka menjadi sukarelawan atau tentera upahan pada zaman penjajah dan meninggalkan pengikut selepas negara mencapai kemerdekaan. Hal ini adalah semata-mata bagi meneruskan tugas bagi menentang Islam.

Kini, penjajah yang dahulunya silih berganti menjajah tanah air kita di seluruh dunia Islam, termasuklah Nusantara yang pernah bertamadun Islam telah meninggalkan tanah jajahan masing-masing. Rantau ini pernah dijajah dahulu kerana kelemahan umat yang disingkirkan peranan Islam akibat kejahilannya terhadap agama Islam yang masih belum dapat diatasi.

Penjajah melalui pasukan orientalis yang melakukan kajian sangat mengetahui bahawa ajaran Islam yang sempurna itu berjaya menegakkan sebuah umat yang perkasa dan maju bersama jati diri beragama Islam. Malah, juga berjaya mencipta para pemimpin berintegriti yang sebenar dalam diri manusia yang sempurna dari sudut jasad, roh dan akal mengikut acuan Allah Pencipta alam.

Allah SWT memberikan suatu amaran melalui firman-Nya:

…وَلَا يَزَالُونَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمۡ عَن دِينِكُمۡ إِنِ ٱسۡتَطَٰعُواْۚ…٢١٧

“Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kalian hingga mereka (mahu) memalingkan kalian daripada agama kalian (kepada kekufuran), seandainya mereka sanggup (melakukan yang demikian)…” (Surah al-Baqarah: 217)

Justeru, Islam terus menjadi sasaran serangan, khususnya serangan dari aspek pemikiran dan kefahaman. Semua itu bergerak melalui agenda pendidikan dan media yang dilindungi oleh kuasa politik yang menyekat atau menghalang Islam daripada berperanan secara sempurna menjadi kefahaman umat. Mereka berlindung sebalik konsep kebebasan liberalisme tanpa sempadan yang sebenar.

Akibatnya, umat mengalami kelemahan dalam segala aspek kehidupan, sehinggalah berjaya dipecahbelahkan. Umat yang pernah dijajah dahulu dan terus dijajah lagi sehingga kini, walaupun mereka sudah dikatakan telah mencapai kemerdekaan. Namun, Islam tetap dipelihara Allah SWT yang mengikat janji-Nya melalui firman-Nya:

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ٨ هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ٩

“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah (Islam) dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang kafir membencinya. (8); Dialah yang mengutuskan Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, agar Dia memenangkannya atas segala agama, meskipun orang Musyrik membencinya. (9)” (Surah al-Saff: 8-9)

Kita menyaksikan hari ini bagaimana musuh Islam di Timur dan Barat sedang terhuyung-hayang dan ada yang telah merudum negaranya yang besar, bahkan ada yang masih tinggal dan menunjukkan tanda-tanda di akhir hayatnya. Namun, usaha untuk menyingkirkan Islam terus dilaksanakan, termasuklah di negara kita Malaysia.

Sekiranya diteliti, kita dapat menyaksikan masih terdapat bala tentera simpanan penjajah yang ditinggalkan berperanan menjalankan agendanya. Khususnya melalui media lama dan baharu dengan memasukkan kefahaman yang memburuk-burukkan atau menimbulkan keraguan terhadap Islam dengan cara yang sangat halus dan secara terancang.

Akan tetapi, mereka tidak dapat menyembunyikan kejahilan mereka terhadap Islam dan permusuhannya. Sekalipun mereka memakai pelbagai topeng bagi melindungi wajahnya, tetapi mereka dalam tidak sedar menelanjangkan jasadnya yang sebenar.

Setelah menemui kegagalan melalui pelaksanaan agenda Islamofobia di Timur dan Barat, kini mereka berperanan menyiarkan berita tentang Islam yang dikira memberi kesan negatif terhadap ajaran Islam atau pendukungnya dalam kalangan ilmuwan, pendakwah, kumpulan Islam dan golongan pemimpin.

Berita yang dilaporkan bukan sahaja berita mengenai isu murtad dan salah laku terhadap agama yang sememangnya berlaku dan sengaja disebarluaskan. Hal ini termasuklah juga kesalahan atau salah laku segelintir penganut Islam yang diperbesarkan sebesar-besarnya.

Perkara ini dilakukan dengan niat yang jahat terhadap Islam, bahkan ada yang bertujuan menghina agama, bangsa dan bahasanya. Mereka bukanlah ingin mencari kebenaran daripada Allah secara ilmu yang sebenar dan juga tidak ikhlas untuk memperoleh hidayah mengikut janji Allah SWT.

Firman Allah SWT:

وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ فِينَا لَنَهۡدِيَنَّهُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ٦٩

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.” (Surah al-‘Ankabut: 69)

Ramai dalam kalangan para orientalis yang akhirnya menemui kebenaran dan memeluk Islam serta menjadi ilmuwan Islam yang pada asalnya lahir di negara penjajah sendiri. Keadaan ini laksana Nabi Musa AS yang dibesarkan dalam mahligai Firaun yang mencari-cari dan berusaha untuk membunuhnya supaya tidak dilahirkan.

Walau bagaimanapun, kita beriman bahawa rancangan mereka yang jahat dan halus itu pasti akan menemui kegagalan kerana Islam tetap dipelihara oleh Allah SWT sebagaimana janji-Nya melalui firman-Nya:

إِنَّا نَحۡنُ نَزَّلۡنَا ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَٰفِظُونَ٩

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kami jua yang benar-benar memelihara dan menjaganya.” (Surah al-Hijr: 9)

Kita percaya bahawa mereka yang menentang Islam dan umatnya tidak akan mampu menyembunyikan diri mereka. Pada masa yang sama, mereka juga leka dengan amalan yang merosakkan diri mereka sendiri dan berseronok dengan habuan hidup untuk sementara waktu. Perkara ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:

قُلۡ هَلۡ نُنَبِّئُكُم بِٱلۡأَخۡسَرِينَ أَعۡمَٰلًا١٠٣ ٱلَّذِينَ ضَلَّ سَعۡيُهُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَهُمۡ يَحۡسَبُونَ أَنَّهُمۡ يُحۡسِنُونَ صُنۡعًا١٠٤ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ بِ‍َٔايَٰتِ رَبِّهِمۡ وَلِقَآئِهِۦ فَحَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فَلَا نُقِيمُ لَهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ وَزۡنٗا١٠٥

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Mahukah Kami khabarkan kepadamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (103); (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan.’ (104); Mereka itulah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan dengan-Nya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatnya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka pada Hari Kiamat kelak. (105)” (Surah al-Kahf: 103-105)

Namun, setiap individu yang cinta akan agama, umat dan negara, sesungguhnya wajib menunaikan kewajipan mereka untuk mempertahankan Islam daripada segala gangguan yang datang daripada luar dan dalam.

Oleh itu, perlu diikuti perkembangan yang berlaku serta dibaca setiap berita dan kenyataan daripada pihak tertentu. Seterusnya menyiasat sehingga ke akar umbinya dan diketahui siapa di belakangnya serta segala sumber kewangan dan pemikirannya. Mereka ialah musuh agama, negara dan umat yang wajib diambil tindakan yang tegas, demi menunaikan kewajipan terhadap agama, umat dan negara yang selamat di dunia dan di akhirat.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 28 Jun 2022 / 28 Zulqa‘dah 1443