Terengganu, Malaysia

Askar AS Kencingkan Mayat, Mungkin Hanya Diturun Pangkat

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita13/kecing%20mayat.jpg

Hukuman itu akan dikenakan terhadap Staf Sarjan Edward W. Deptola setelah perjanjian rayuan dicapai, walaupun hakim mahkamah tentera telah menggesa agar hukuman lebih berat dikenakan terhadapnya.

Staf Sarjan Deptola mengaku bersalah atas pelbagai tuduhan semasa perbicaraan di mahkamah tentera, termasuk mengingkari perintah dengan mencemari dan mengambil gambar dengan mayat Taleban.

Selain itu, dia juga dikenakan tuduhan mengabaikan tugas kerana gagal menyelia secara sempurna askar Marin bawahannya.

Hakim mahkamah tentera itu, Leftenan Kolonel Nicole Hudspeth, berkata beliau mahu mengenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda AS$5,000 ($6,124), menurunkan pangkat Staf Sarjan Deptola kepada pangkat prebet serta memecatny daripada pasukan tentera kerana berkelakuan buruk. Tetapi, katanya, beliau terikat dengan syarat perjanjian rayuan yang dicapai antara tertuduh dengan pihak pendakwa tentera.

Staf Sarjan Deptola dan seorang lagi askar pasukan Marin yang berpangkalan di Camp Lejeune dikenakan tuduhan tahun lalu setelah terdedahnya video yang menunjukkan empat anggota Marin berpakaian seragam pertempuran mengencingkan mayat tiga warga Afghanistan pada Julai 2011.

Staf Sarjan Deptola mengaku kepada hakim dia mengencingkan salah satu mayat dalam video itu dan bergambar sebagai kenangan.

Katanya, dia gagal menyelia anggota Marin lain di bawah perintahnya ketika tindakan mencemarkan mayat itu bermula walaupun dia sudah diberi taklimat bahawa tindakan sedemikian melanggar peraturan am pasukan Marin.

Sebelum ini, anggota Marin lain yang terlibat dalam kejadian itu telah dikenakan hukuman lebih ringan.

Staf Sarjan Joseph W. Chamblin mengaku bersalah atas tuduhan serupa bulan lalu dan di bawah perjanjian yang dicapai sebelum dia dihadapkan bagi perbicaraan di mahkamah tentera, gajinya dipotong AS$500 dan pangkatnya diturunkan kepada pangkat sarjan.

Tiga anggota Marin lain dikenakan hukuman menjalankan tugas pentadbiran kerana peranan mereka dalam kejadian itu. – AP.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan