AS lulus sekatan lebih tegas atas Iran

838

Dewan Senat Amerika Syarikat kelmarin dengan sebulat suara meluluskan sekatan ekonomi lebih tegas ke atas Iran.

Antara sekatan itu termasuk memutuskan urusan bank pusat Iran daripada sistem kewangan sejagat.

Ini bermakna aset institusi kewangan asing berpangkalan di Amerika yang berurusan dengan bank pusat Iran akan dibekukan.

‘Ini merupakan pindaan yang betul, pada waktu yang tepat dan memberikan mesej yang betul kepada rejim yang tidak bertanggungjawab,’ kata Senator Republikan, Encik Mark Kirk, yang sama-sama melakarkan sekatan itu bersama Senator Demokrat, Encik Robert Menendez .

[Gambar – Setiuasaha Negara Amerika, Hilari Clinton, ketika bercakap pada media berkaitan sekatan baru US yang lebih keras]

Para pegawai Amerika sebelum ini telah memberi amaran bahawa tindakan menyekat pasaran sejagat daripada eksport Iran akan menyebabkan harga minyak melambung tinggi.

Ini sekali gus akan memberi durian runtuh kepada Teheran yang sedang mengalami kesukaran ekoran sekatan ekonomi antarabangsa.

Bagi menangani kebimbangan ini, sekatan terbaru itu hanya akan dilaksanakan jika Presiden Amerika, Encik Barack Obama, merumuskan bahawa bekalan minyak mencukupi dari negara pembekal lain, bagi mengelakkan pasaran sejagat terjejas.

Menurut Encik Kirk, duta Arab Saudi ke Amerika telah memaklumkan beliau bahawa kerajaannya bersedia menambah bekalan minyak jika terdapat kekurangan bekalan di pasaran sejagat.

Sekatan itu tidak melibatkan penjualan makanan, perubatan dan peralatan perubatan.

Awal dari itu, Setiausaha Rendah bagi Ehwal Politik, Cik Wendy Sherman, dan Setiausaha Rendah Perbendaharaan bagi Pengganasan dan Risikan Kewangan, Encik David Cohen, memberi amaran bahawa sekatan itu tidak disokong oleh sekutu utama Amerika dan ini secara tidak langsung akan menguntungkan Iran.

‘Wujud risiko jelas yang harga minyak malah akan naik dan ini bermakna iran akan mempunyai lebih banyak wang menampung matlamat nuklearnya,’ kata Cik Sherman.

Sebelum ini, China menentang sekatan ekonomi tambahan ke atas Iran.

Senator Republikan, Encik Bob Corker, bertanya sama ada Washington sedang ‘mengatur rancangan bersama sekutu-sekutu kita bagi mengambil tindakan ketenteraan’ dan menghantar ‘isyarat kepada Iran bahawa jika sekatan ini tidak menunjukkan kesan, kita sudah bersedia melaksanakan pilihan ini’.

Menjawab soalan itu, Cik Sherman berkata:

‘Iran faham dan mereka baca akhbar dan dapat melihat apa yang sedang berlaku. Mereka faham ini satu kemungkinan yang serius.’ – AFP.