KAHERAH: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry, melahirkan keprihatinan mendalam berkaitan pertumpahan darah di Mesir kelmarin, yang telah menyebabkan sekurang-kurangnya 75 orang terkorban.


“Ini merupakan masa yang penting bagi Mesir. Dalam suasana yang sangat rapuh ini, pihak berkuasa Mesir mempunyai tanggungjawab moral dan undang-undang untuk menghormati hak mengadakan perhimpunan aman dan kebebasan bersuara.
“Amerika Syarikat menggesa satu siasatan bebas dan adil diadakan berkaitan apa yang telah berlaku, selain menggesa para pemimpin Mesir daripada semua spektrum politik agar bertindak segera membantu negara mereka berundur setapak ke belakang dari tepi cenuram,” kata Kerry dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Washington menggantung penghantaran jet pejuang F-16 kepada Mesir sebagai menunjukkan rasa tidak puas hati berhubung cara negara itu menangani krisis politiknya.
“Keganasan bukan hanya akan menyukarkan lagi proses penyatuan dan demokrasi, malah akan mempunyai kesan negatif terhadap kemantapan serantau,” kata Encik Kerry.
Pertumpuhan darah kelmarin adalah yang terburuk sejak penyingkiran mantan presiden yang diguling, Encik Mohamed Mursi, oleh pihak tentera pada 3 Julai lalu.
Persaudaraan Islam (Ikhwanul Muslimin) mendakwa pihak polis telah melepaskan tembakan peluru hidup ke arah para penyokong Encik Mursi.
Pegawai Kementerian Kesihatan berkata sekurang-kurangnya 748 orang cedera kelmarin.
Namun, sayap politik Ikhwanul Muslimin, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), berkata lebih 4,500 orang cedera dan sekurang-kurangnya 200 orang terkorban dalam pertempuran di antara penyokong Encik Mursi dan pasukan keselamatan di Nasser Street di Kahirah itu.
Sementara itu, badan hak asasi kemanusiaan yang berpangkalan di New York, Human Rights Watch (HRW), mengutuk keganasan berkenaan sambil menuduh pihak berkuasa tidak sayangkan nyawa rakyatnya sendiri.
Menurut badan itu, ramai di antara mangsa ditembak di dada atau kepala.
Timbalan Pengarah HRW bagi Timur Tengah dan Afrika Utara, Encik Nadim Houry, dalam satu kenyataan berkata:
“Sukar dipercayai bahawa begitu banyak tembakan dilakukan bukan untuk tujuan membunuh,” kata beliau.
Badan itu menggesa agar pemerintah sementara Mesir dan pemimpin tentera negara itu “segera menghentikan penggunaan peluru hidup, kecuali bagi tujuan melindungi nyawa.” – Agensi.





























