AS, Britain, Canada umum sekatan baru atas Iran

759

WASHINGTON: Amerika Syarikat, Britain dan Canada, mengumumkan sekatan-sekatan baru ke atas sektor-sektor tenaga dan kewangan Iran, langkah-langkah yang mungkin memberi tekanan ke atas Teheran tetapi tidak dijangka dapat menghentikan program nuklear negara Teluk itu, menurut para pengamat.

Russia menolak sekatan-sekatan baru Amerika ke atas sektor tenaga dan kewangan Iran itu dengan menyifatkannya sebagai ‘tidak boleh diterima’ dan boleh menjejas peluang membaharui rundingan dengan Teheran berhubung program nuklearnya itu.

Iran pula berkata sekatan-sekatan itu tidak lebih daripada satu propaganda yang tidak akan menjejas ekonominya.

Amerika menamakan Iran sebagai satu daerah yang menjadi ‘kebimbangan utama bagi kegiatan penjanaan wang haram’, satu langkah yang direka untuk mencegah bank-bank bukan milik Amerika daripada mengadakan urusan dengannya; menyenaraihitamkan 11 entiti yang disyaki membantu program nuklear Iran; dan meluaskan sekatannya ke atas syarikat-syarikat yang membantu perusahaan minyak dan petrokimia negara Teluk itu.

Amerika, bagaimanapun, tidak menyasarkan langkahnya itu ke atas bank pusat Iran, satu langkah yang mungkin mengasingkannya daripada sistem kewangan sejagat, menaikan harga minyak dengan banyaknya serta menjejas pemulihan ekonomi di Amerika dan Eropah.

Dalam satu tindakan yang diselaraskan, Britain telah mengarahkan semua institusi kewangannya berhenti daripada berurusan dengan rakan sejawatan mereka dari Iran, termasuk bank pusat Iran.

Satu sumber yang tahu mengenai sekatan-sekatan itu berkata langkah-langkah itu tidak ditujukan secara langsung kepada kegiatan dagangan minyak Iran.

Canada berkata ia akan mengharamkan eksport semua barangan yang digunakan dalam perusahaan petrokimia, minyak dan gas Iran, serta ‘menghalang semua urus niaga dengan Iran’ termasuk dengan bank pusatnya, kecuali bagi warga Iran yang berada di Canada, yang mengirim wang mereka pulang ke tanah airnya.

Perancis pula, walaupun tidak mengambil sebarang langkah konkrit, telah menggesa Kesatuan Eropah (EU) dan negara-negara lain untuk segera membekukan aset-aset bank pusat Iran dan menggantung pembelian minyak Iran – langkah-langkah yang disifatkannya sebagai ‘sekatan pada skala yang belum pernah dilakukan’.

Siri pengumuman sekatan itu menyusuli satu laporan daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bahawa Iran sedang berusaha menghasilkan senjata nuklear dan mungkin masih menjalankan kajian berkaitan dengannya.

Bagaimanapun, Russia menolak sekatan-sekatan itu.

‘Kami sekali lagi menekankan bahawa Persekutuan Russia menganggap langkah-langkah luar wilayah itu tidak boleh diterima dan bercanggah dengan undang-undang antarabangsa,’ kata jurucakap Kementerian Luarnya, Encik Alexander Lukashevich, dalam satu kenyataan.

Iran pula menolak sekatan-sekatan itu, semalam, sambil berkata ia akan hanya menyatukan rakyat Iran dan tidak akan menjejas ekonomi dan program nuklearnya. — Reuters.