ARC Terengganu Rentas Titiwangsa, Jayakan Misi ‘Servis & Start’ Santuni Mangsa Banjir Perlis

179

Oleh : Ahmad Hilmi

PADANG BESAR – Semangat kesukarelawanan mengatasi jarak apabila 16 sukarelawan Alternative Riding Club (ARC) Terengganu sanggup merentasi Banjaran Titiwangsa ke Perlis demi menjayakan misi bantuan pasca banjir.

Menerusi program ‘Misi Servis & Start ARC Malaysia’ yang berlangsung selama dua hari bermula 6 Disember, pasukan ini memfokuskan khidmat bakti mereka di Kampung Tassoh, sebuah lokasi yang terjejas teruk akibat bencana banjir baru-baru ini.

Ketua ARC Besut, Muhammad Afiq Akmal Mohd Zohir melahirkan rasa terharu dan berterima kasih kepada semua petugas yang komited menyertai misi tersebut walaupun perlu menempuh perjalanan jauh.

“Terima kasih kepada semua sukarelawan yang sanggup hadir merentasi Banjaran Titiwangsa untuk membantu kawasan yang dilanda banjir.

“Misi kali ini tertumpu khusus kepada penduduk di Kampung Tassoh, Perlis yang dilanda banjir dahsyat sehingga menyebabkan banyak kenderaan penduduk rosak akibat ditenggelami air,” katanya pada 6 Disember, ketika ditemui di lokasi program.

Menurut Afiq Akmal, operasi bantuan bermula seawal jam 9.00 pagi Sabtu dengan sasaran utama memulihkan sistem penggerak kenderaan penduduk agar boleh digunakan semula.

“Sepanjang dua hari berkampung di sana, pasukan teknikal ARC berjaya menyantuni pemilik kira-kira 50 buah motosikal.

“Antara khidmat percuma yang ditawarkan termasuk penukaran minyak hitam (minyak enjin), pembersihan motosikal, serta servis membaik pulih kerosakan akibat air banjir.” kata Afiq

Oleh itu, tambah beliau, kehadiran anak muda ARC Terengganu ini bukan sahaja meringankan beban kewangan mangsa banjir.

“malah membuktikan bahawa komuniti permotoran mampu menjadi aset penting dalam gerak kerja kebajikan dan kemasyarakatan negara.” katanya lagi.