Apa Ada Pada PAS: Bahagian 3

2121

4-Perpaduan:

PAS menjadi tempat perpaduan bagi banyak pemikiran terutamanya berkaitan dengan hal-hal keagamaan. Jika dilihat dalam PAS, anda boleh melihat bayangan jemaah Salafi- Wahhabi, Habaib, Pondok, Khalaf juga Tabligh yang mana ini antara kumpulan agama yang terkenal di Malaysia. Kesemua mereka ini alhamdulillah boleh duduk bersama, berbincang dengan mengenepikan pandangan mazhab masing-masing demi menaikkan Islam melalui PAS di Malaysia.

india-sokong-pasWarna-warni latar belakang inilah yang menyerikan PAS. Pandangan mereka ini sangat penting demi Islam secara keseluruhannya di Malaysia. Merekalah tulang belakang PAS dalam melakukan kewajipan demi umat. Bayangkan jika mereka terleka dengan hal ikhtilaf, bagaimana mereka dapat menyelesaikan masalah umat? Jadi perpaduan mazhab dalam PAS ini adalah ramuan kejayaan PAS.

Jika mereka terlalu keras dengan pandangan mereka, mereka akan terkeluar. Lihat contoh tokoh-tokoh PAS yang dahulu sering mengkafirkan orang lain. Ke mana mereka sekarang ini? Ada yang masuk Umno dan ramai yang keluar dari PAS.

Terlalu berlembut juga tidak bagus kerana akan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan. Lihat bagaimana DAP cuba menguasai PAS dari dalam kerana ada sebahagian yang mahu terlalu berlembut. Tapi alhamdulillah golongan yang membantu DAP itu juga terkeluar sekarang ini.

5-Keyakinan:

PAS mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa Islam akan menang. Samada zaman sekarang ataupun zaman akan datang. Inilah keyakinan yang dipegang PAS dari dahulu lagi. Mempunyai keyakinan yang tinggi kepada Allah adalah berbeza dengan berkeyakinan tinggi dengan kepandaian manusia.

Ramai ahli PAS yang gagal memahami hal ini. Mereka merasakan bahawa kerana merekalah PAS berjaya. Maka diangkat-angkat cerita kehebatan diri mereka supaya dipuji ahli dan penyokong. Ini tidak betul.

presiden PAS perasmian harap1Sebaliknya perangai sebegini akan menenggelamkan mereka. Lihatlah sekumpulan ahli yang keluar PAS kerana mereka merasakan bahawa merekalah yang paling bijak dan pandai. Sedangkan PAS percaya bahawa Allahlah memberikan kemenangan kepada sesiapa sahaja yang Dia mahukan. Yang menjadi agenda penting PAS ialah ahli mesti bertaqwa kepada Allah walaupun mereka tidak pandai, tidak bijak mahupun tidak kaya.

Allahyarham Ustaz Harun Taib adalah contoh seorang yang sentiasa berkeyakinan Allah akan membantu kerja-kerja dakwah ini. Apabila merancang sesuatu program dan ia memerlukan wang, beliau sambil tersenyum akan menjawab “duit ada dalam poket”. Bermaksud, jika tidak dikeluarkan dari poket orang lain, maka duit dari poket sendirilah yang kena di keluarkan.

Dan alhamdulillah program sentiasa berjaya. Antara buktinya, sekolah-sekolah yang mereka dirikan itu. Jutaan ringgit dibelanjakan. Dari mana datangnya? Itulah keyakinan kepada Allah. Tapi berbeza dengan terlalu yakin dengan kehebatan manusia. Mungkin atas sebab terlalu yakin atas kehebatan diri maka Kompleks PAS sehingga kini masih belum boleh didirikan?

6-Politik:

PAS sanggup berkorban demi rakan politik. Ketika bersama Semangat 46, ketika dengan PKR, DAP. Semua itu demi menjatuhkan kezaliman pemerintahan BN. Bukan sedikit kerusi-kerusi yang dikorbankan kepada rakan-rakan tahaluf PAS. Malah pernah bersama BN ketika melihat keperluan umat pada masa itu memerlukan PAS bergabung. Tetapi ini semua dengan satu matlamat iaitu Islam mesti didaulatkan.

pakatan rakyatBetapa peluang yang ada digunakan oleh Dato’ Asri ketika menjadi menteri dahulu dengan mengadakan kawasan-kawasan Felda yang dihuni oleh mereka yang memahami agama. Beberapa budaya barat berjaya dibendung ketika bersama dengan BN dalam kerajaan. PAS juga berhasil menerbitkan buku-buku agama yang digunakan kerajaan sehingga kini.

Ketika bersama Semangat 46, Kelantan berjaya menghapuskan premis judi secara keseluruhannya, menghapuskan pinjaman riba bagi kakitangan kerajaan, mengawal penjualan arak. Mengawal hiburan-hiburan yang melalaikan.

Dalam persefahaman bersama Barisan Alternatif, Terengganu pula menerima kebaikan seperti Kelantan. Tol dan cukai yang membebankan rakyat dihapuskan, tanah-tanah juga diberikan kepada puluhan ribu rakyat yang layak. Enakmen Hudud dan Qisas diwartakan. Ini jelas menunjukkan bahawa dengan kuasa politik yang diguna sebaiknya, Islam boleh dijulang.Dan PAS adalah bukti hidup untuk ini.

Berada dalam Pakatan Rakyat, PAS berjaya menawan Perak, Kedah dan kekal memerintah Selangor bersama komponen PR yang lain. Banyak kebajikan rakyat dapat diselesaikan sebelum Perak dan Kedah jatuh semula kepada BN.

Semua ini membuktikan bahawa PAS boleh bertahaluf dengan mana-mana parti tetapi semestinya Islam mendapat manafaat. Jika Islam dijadikan bahan hinaan, atau mahu diketepikan, maka PAS sanggup menukar regu politiknya, malah sanggup bersendiri. Begitu PAS dituduh sombong dan angkuh, namun pada akhirnya PAS juga yang dicari.

Grafik-Selangor-Pakatan (548x343)PAS tidak gila kuasa. Buktinya ialah PAS pernah mencadangkan negara teknokrat iaitu bukan ahli politik yang pakar-pakar dalam bidang masing-masing untuk menjadi menteri. Asalkan didasarkan dengan Islam. Kerana ahli politik yang kadang-kadang dilihat sebagai tidak layak. Ini jelas bagi memberikan khidmat terbaik kepada rakyat. Malah kata almarhum TG Nik Aziz, jika Umno benar-benar laksanakan dasar Islam, PAS akan dibubar.

Dalam sudut lain pula, politik ini ruang membenarkan PAS berkata benar kepada pemimpin yang zalim. Masih ingatkah anda dengan isu pemisahan politik daripada agama? Sehingga sekarang penegasan PAS hampir 40 tahun dahulu, diterima seluruh orang Islam termasuk Umno sendiri yang tidak lagi bercakap tentang pemisahan politik dari agama ini.

PAS berkata benar samada dalam bentuk nasihat atau penegasan dalam kerangka undang-undang negara di Parlimen atau DUN. Tiada gerakan Islam lain di Malaysia yang boleh berbuat demikian jika mereka tidak terlibat dalam politik. Mungkin kadang-kadang ada. Tetapi PAS, sentiasa digunakan ruang ini dengan sebaiknya. Dan alhamdulillah, banyak perubahan yang berjaya dilakukan. (Nantikan sambungan bahagian akhir…..)

Mohd Nasir Abdullah
KLIA
5 Jan 2017