DUNGUN – Kerajaan dan pihak polis digesa segera menangani kejadian jenayah tembak dan bunuh yang sedang merebak menjadi ‘barah sosial’ diseluruh negara masakini.
Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Moohd Ramly berkata, peristiwa ‘tembak dan bunuh’ pengusaha Restoran Nasi Kukus yang berlaku di Kampung Cacar dekat sini pada minggu lalu adalah ‘tanda aras’ menunjukkan ia sudah begitu serius.
“saya menggesa kerajaan dan pihak polis segera membendung kegiatan jenayah tembak dan bunuh yang sedang menular sekarang ini, sehingga ia berlaku di kawasan saya pada minggu lalu,
“saya merakamkan rasa yang amat dukacita dengan kematian penguasaha restoran nasi kukus yang ditembak mati ketika keluar dari rumahnya pada jam 4.30 pagi,
“ini menunjukkan ‘tanda aras’ jenayah yang berlaku adalah amat serius dan perlu diambil langkah-langkah yang lebih berkesan,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jamuan Aidilfitri Peringkat Parlimen Dungun dan DUN Sura yang berlangsung bermula jam 11.00 pagi hingga jam 3.00 petang pada Sabtu lalu, 17 Ogos.
Beiau turut menyatakan kebimbangan kerana selepas hari ketiga kejadian, penjenayah terbabit masih belum dapat ditangkap.
“hari pertama, kedua dan ketiga polis keluarkan kenyataan, ada tanda dan petunjuk tentang penjenayah yang melakukan perbuatan terkutuk itu, tetapi selepas hari ketiga sehingga kini, masih belum dapat diberkas,”jelasnya.
Mengulas tentang Majlis sambutan sempena Aidil Fitri Parlimen Dungun, beliau mengucapkan syukur kerana disambut meriah dengan kunjungan daripada pelbagai lapisan rakyat.
Katanya, majlis yang diadakan di Perkarangan Bangunan PAS DUN Sura itu merupakan julung kali diadakannya setelah memenangi kawasan pada pilihanraya umum kali ke-13 (PRU-13) Mei lalu.










