Anugerah Naikkan Imej Guru PASTI Terengganu

110

Oleh : Nooreni Abu Bakar

KUALA TERENGGANU – Tokoh Guru Pusat Asuhan Tunas Islam(PASTI) Malaysia 2021, Noriah Koter menyifatkan kejayaannya itu akan menaikkan imej guru-guru PASTI Terengganu di persada tanah air.

“Kejayaan yang didapatinya kebelakangan ini bukan semata-mata menaikkan diri saya sahaja, tetapi untuk menaikkan imej guru-guru PASTI di Terengganu itu sendiri,” ujarnya.

Noriah berkata demikian ketika diwawacara oleh Ustazah Noorzila Mohamad dalam program Ustazah Zila With Love yang bersiaran di Lubna TV pada 5 Julai lalu.

Guru PASTI Al Iman, Pekan Bukit Payung itu menerima anugerah tersebut di Majlis Sambutan Hari Guru PASTI 2021 yang diadakan secara atas talian pada 26 Jun lepas.

Ibu kepada tiga orang anak itu telah menabur bakti kepada PASTI sejak 37 tahun lalu bermula 1984.

Beliau juga turut menasihatkan supaya tidak melakukan sesuatu kerja itu demi anugerah yang ingin dicapai. Tetapi lakukanlah sesuatu kerja itu niat kerana Allah. insyaAllah jiwa akan tenang dan lapang.

“Mendidik bukanlah perkara yang mudah, kerana ia perlu bermula dari diri kita sebenarnya. Kita perlu sentiasa mentarbiah diri. Selain itu, mendidik anak murid memerlukan kasih sayang.” ujar beliau lagi.

Beliau juga terlibat aktif dalam Parti Islam Se-Malaysia(PAS) , antara jawatan yang dipegang adalah sebagai AJK Dewan Muslimat PAS Terengganu, AJK Lajnah Pendidikan Muslimat PAS Terengganu dan juga menyandang sebagai Pengerusi Tetap Dewan Muslimat PAS Marang.