SETIU – Amanah membesarkan anak-anak yatim yang ditinggalkan ibu-bapa mereka ke alam barzakh adalah terpikul di atas bahu kita.
Menurut Pengerusi Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu Dr. Azman Ibrahim, kita perlu sentiasa bimbang, tentang tanggungjawab itu yang akan dipersoalkan nanti.
“Kita bimbang, lantaran rasa sedihnya mereka dihari raya kerana tak mampu memiliki walau sepasang pakaian raya (yang) baru akan menyebabkan kita yang mampu,
“bakal berdepan dengan persoalan di hadapan Allah nanti……………Mereka juga berhak untuk bergembira di hari raya………,”ujarnya.
Oleh itu, beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Jabi berkata, mengambil sempena keberkatan Ramadhan dan Eidulfitri yang bakal disambut, 100 orang anak-anak yatim DUN Jabi untuk diraikan.


“Satu jumlah yang tak banyak sebenarnya, tetapi keceriaan anak-anak yatim yang kurang berkemampuan menerima pemberian yang tak seberapa ini adalah mengatasi segalanya.
“Diharapkan dengan sumbangan ini juga, mampu meringankan beban penjaga mereka apatah lagi ketika musim getah sawit turun (GST) yang memberikan kesan besar kepada kehidupan rakyat luar bandar,
“Ditambah lagi apabila beban berganda dilonggokkan atas bahu rakyat dengan pengumuman kenaikan harga minyak (namun) walau sukar, kehidupan tetap berjalan,”jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas majlis penyampaian sumbangan pakaian raya yang diadakan pada pagi Sabtu 4 Julai bersamaan 17 Ramadhan, bertempat di Pejabat MTD Jabi.
Menurutnya, setiap orang anak kurang bernasib baik itu dihadiahkan dengan satu persalinan Baju Melayu atau Baju Kurung, dengan melibatkan kos keseluruhan kira-kira RM7, 000.00.
Oleh itu, beliau merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas segala sumbangan yang dihulurkan para dermawan yang telah memudahkan kita menunaikan amanah ini dengan lancar.
“Semoga semuanya akan dicatatkan oleh Allah sebagai satu catatan amal soleh kita di sisinya,”tambah beliau





























