Anak Muda Dalam Dilema; Rumah Mampu Milik Atau Rumah Mampu Tengok

2479

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) peka dengan kemelut ekonomi yang sedang melanda negara pada ketika ini.

Ketuanya Ustaz Kamaruzzaman Abdullah berkata, ia seperti sinetron yang tidak berkesudahan, daripada kenaikan harga barang, kejatuhan wang ringgit dan ketidakstabilan politik.

Katanya, tiga krisis utama yang berlaku serentak hari ini dilihat tidak pernah berlaku sebelumnya, dan ia turut dirasai di negeri ini

“Di negeri Terengganu, isu pemilikan rumah PPR Padang Hiliran yang diletakkan syarat kemenangan BN dalam PRU-14 akan datang untuk melayakkan pemilikan rumah tersebut adalah suatu ‘ugutan melampau’ daripada pihak Menteri Besar Terengganu.

“Hal ini mungkin dilihat sebagai ‘janji manis’ untuk rakyat, namun hakikatnya, ini adalah suatu ‘ugutan politik’ yang amat berbahaya dan tidak seharusnya berlaku dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi,”ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Selasa 23 Ogos.

Senario ‘pilih kasih’ kerajaan Umno, kata beliau, menyebabkan rakyat dipisahkan, antara penyokong parti pemerintah atau sebaliknya.

PPR Hiliran“Mereka yang dilihat bersama parti pemerintah akan diberikan sepenuh bantuan dan kemudahan, manakala yang tidak sehaluan pula akan dinafikan segala-galanya.
“Lebih malang lagi, terdapat sebilangan rakyat yang tidak mengambil bahagian dalam samada memberikan sokongan kepada mana-mana parti, turut menjadi mangsa keadaan.

“ia juga jelas bertentangan dengan hak-hak asasi manusia yang bukan sahaja diperjuangkan oleh Islam bahkan alam sejagat keseluruhannya. Hak untuk memiliki rumah kediaman dan tempat perlindungan yang selesa,”jelasnya.

Di dalam Islam, menurut beliau, hak untuk tempat tinggal dinyatakan dalam al-Quran, Surat an-Nahl, 80, yang bermaksud, “Dan Allah menjadikan bagi kamu rumah-rumah (yang kamu dirikan itu) sebagai tempat tinggal.”

Rasulullah SAW juga memberikan penegasan dengan hadisnya yang bermaksud, “Di antara tanda-tanda kebahagiaan anak Adam itu ialah isteri yang solehah, rumah yang luas dan kenderaan yang selesa. Dan di antara kebinasaannya pula ialah rumah yang sempit, isteri yang jahat dan kenderaan yang teruk.”

“Artikel 25, Deklarasi Antarabangsa Hak-hak Asasi Manusia, Artikel 11(1), Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan (ICESCR), juga Dasar Perumahan Negara dan Rancangan Malaysia ke-10 yang turut memperjuangkan hak pemilikan rumah ini,”tegas Ustaz Kamaruzzaman.

Justeru, katanya, isu pemilikan rumah, pemberian hak milik rumah dan yang berkaitan dengannya perlulah dilihat dengan kaca mata yang adil dan saksama, kaca mata fitrah dan manusiawi dan yang lebih utama, kaca mata agama Islam, rahmat buat sekalian alam.