Dua anak Hosni miliki kekayaan RM1.05 bilion di bank Swiss

1236

Dua anak lelaki mantan Presiden Mesir Hosni Mubarak memiliki kekayaan sejumlah US$340 juta atau sekitar RM1.05 bilion di bank Swiss.

Wakil Menteri Kehakiman Mesir Assem al-Gohari yang juga Pengerusi Perbadanan Pengumpulan Harta Gelap menyatakan kebanyakan dana itu, yang sekarang dibekukan adalah atas nama anak Sulongnya Alaa.

Sementara pemegang amanah akaun adalah anak lelaki termudanya, Gamal Mubarak.

Kedua-dua anak Hosni Mubarak itu kini menghadapi pertuduhan rasuah dan penyelwengan serta terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai semasa kebangkitan rakyat Mesir.

Sementara Hosni Mubarak juga didakwa dengan tuduhan atas pembunuhan beramai-ramai yang berlaku sepanjang bulan Januari dan Februari tahun ini, ketika rakyat keluar ke jalan raya untuk menggulingkannya.

Tindakan menurunkan Hosni dari kekuasaannya dipacu oleh keyakinan bahawa dia dan anak-anaknya menumpuk harta kekayaan secara haram melalui rasuah dan penyelewengan.

Alaa Mubarak, 49, adalah seorang ahli perniagaan yang tidak terjun ke dunia politik.

Sementara adiknya, Gamal Mubarak, 47, adalah mantan ketua parti yang pernah berkuasa Parti Nasional Demokrat dan sering dipandang sebagai tokoh yang akan mewarisi takhta kekuasaan ayahnya.

Assem Gohari mengatakan pihak berkuasa Swiss menyelidiki keterlibatan Alaa Mubarak dalam pencucian wang.

Swiss juga telah membekukan aset keluarga Mubarak dan mantan tokoh pemerintah Mesir lainnya.

Swiss berjanji akan mempercepat pengembalian dana ini yang pernah dipegang oleh pemerintah Mubarak dan juga termasuk milik mantan Presiden Tunisia Zine al-Abidine Ben Ali.

Difahamkan, Swiss yang menjadi pusat kewangan ke tujuh dunia banyak menyimpan wang para diktator – sumber BBC