Terengganu, Malaysia

Ameerah Santuni Muslimat Rohingya

Ameerah Santuni Muslimat Rohingya

Oleh : NHA

LHOKSUKON, Aceh -;Setiap penderitaan yang dihadapi oleh saudara Rohingya tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Adakalanya linangan airmata bercucuran mengalir di kala mereka menceritakan pengalaman buruk penderitaan itu umpama dapat difahami walau itu hanyalah sebahagian daripada episod duka yang dilalui.

Ameerah Terengganu mengambil peluang untuk mendekati muslimat Rohingya yang tidak kurang hebat diuji dan menganggung derita ujian Ilahi.

IMG-20150608-WA0138“Kami mengambil peluang yang seketika ini untuk mendekati mereka dan memberi sokongan moral. Memang benar, segala keperluan hidup mereka di sini mencukupi, namun semangat adalah motivasi penting buat mereka untuk terus kuat meneruskan hidup di bumi Aceh ini”, ujar Puan Zuraida Md Noor, Ketua Ameerah Terengganu ketika di Pusat Penempatan Rohingya di Lhoksukon, Aceh Utara.

Masalah komunikasi agak kritikal kerana hanya beberapa orang pelarian sahaja di setiap pusat penempatan yang mampu bertutur bahasa Melayu. Walaupun masyarakat Rohingya menerima seadanya segala keperluan yang disediakan oleh pemerintah Aceh dan para sukarelawan, namun adakalanya sukar untuk mendalami isi hati mereka.

“Ameerah beruntung kerana dibantu oleh seorang wakil Rohingya iaitu Jamal Hussein yang petah bertutur bahasa Melayu. Beliau banyak membantu kami menyampaikan hasrat Ameerah dan rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong masyarakat Rohingya atas dasar aqidah dan kemanusiaan “, ujar Zuraida lagi.

Jamal Hussein, 29 tahun mampu bertutur Bahasa Melayu kerana mempunyai pengalaman bekerja beberapa tahun di Malaysia iaitu di Pulau Pinang dan Selangor.

“Ada muslimat Rohingya yang kehilangan suami kerana diculik atau dibunuh. Ada juga ibu yang kehilangan anak yang dibakar hidup-hidup. Malah ada juga suami yang menjadi imam masjid dipotong tangan sebelum dibunuh di dalam masjid”

IMG-20150608-WA0129“Tidak mampu kami luahkan dengan kata-kata perasaan kami setelah mendengar luahan hati muslimat tersebut. Mereka amat memerlukan bantuan kita semua”, kata Zuraida lagi.

Pertemuan khas Ameerah bersama muslimat dan wanita muda Rohingya tersebut mengambil masa kira-kira 20 minit. Di akhir pertemuan, Zuraida menyampaikan beberapa tips kepada mereka untuk diamalkan.

Beliau mengingatkan bahawa muslimat mesti mempunyai jiwa dan semangat yang kuat. Kekuatan jiwa akan diperolehi jika hubungan dengan Allah dijaga sebaiknya. Selain itu, beliau mengingatkan mereka mestilah menjaga kebersihan dan membantu memudahkan kerja dan beban masyarakat Aceh yang membantu mereka dengan ikhlas.

“InsyaAllah, usaha kami tidak berhenti setakat ini sahaja. Kami akan mencari lebih banyak sumbangan dan bantuan lain untuk disalurkan di sini. Kami juga mahu membantu ekonomi rakyat Aceh dengan membeli terus segala keperluan dan bantuan di sini sahaja. Kami gembira kerana dapat membantu saudara Islam kami disini secara tidak langsung “, ujar beliau menutup pertemuan itu.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan