Ambil Cakna Perkembangan Isu Semasa

560

Oleh : Nooreni Abu Bakar

KUALA TERENGGANU – Muslimat Parti Islam Se-Malaysia(PAS) diseru agar mengambil cakna perkembangan isu semasa menerusi media sosial yang merupakan medan untuk berkempen dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Ketua Penerangan Muslimat Terengganu, Maznah Muftahuddin berkata, mereka sepatutnya bergerak seiring dengan perkembangan media baharu.

“Dengan PRU ke-15 yang akan diadakan tidak berapa lagi, Muslimat perlu bersedia berhadapan dengan situasi begini dan tidak boleh lepas tangan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Program Taklimat Isu dan Pengucapan Awam yang dianjurkan Lajnah Penerangan dan Media Baru(LPMB) , Muslimat Terengganu sempena Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKBP) pada Sabtu lalu.

Menurutnya, program yang telah berlangsung selama beberapa siri itu bertujuan memberi penjelasan yang lebih mendalam tentang halatuju kerajaan Negeri Terengganu di bawah Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Memandangkan PRU ke-15 sudah hampir, penerangan isu semasa tidak dapat diadakan secara bersemuka dengan PKPB, jadi LPMB mengadakan program ini secara ‘online’.

“Ia melibatkan lapan kawasan melalui empat siri program dengan menjemput exco dalam memberi penjelasan tentang isu-isu semasa kerajaan negeri,” jelasnya.

Selain itu, tambahnya lagi, program ini juga turut mengetengahkan teknik pengucapan awam kepada jentera muslimat yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan PAS Terengganu, Sazali Mohd Noor.

“Kita berharap program sebegini akan dapat menambahkan maklumat kepada para kaum hawa dalam memberi penerangan yang jelas kepada masyarakat,” tambah beliau.