KUALA TERENGGANU – Al-Quran tidak pernah selesai untuk dikaji, bahkan semakin seseorang mendalami kitab suci itu dengan ilmu, pengalaman dan penelitian, semakin luas pula penemuan yang diperoleh daripadanya.
Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, keistimewaan al-Quran bukan sekadar terletak pada kandungannya yang menjadi petunjuk kehidupan, bahkan ia mempunyai keunikan tersendiri kerana mudah dihafaz, dipelajari dan difahami oleh manusia daripada pelbagai latar belakang.
“Al-Quran ini sesuatu yang mudah dihafaz dan mudah untuk dipelajari serta difahami. Sebab itu kita melihat al-Quran berada dalam dada manusia di seluruh dunia, termasuk kanak-kanak dan mereka yang tidak memahami bahasa Arab,” ujar beliau ketika menyampaikan perkongsian dalam program Hamalatul Quran, Penghafaz Al-Quran sempena Karnival Terengganu Cinta Al-Quran dan Sambutan Sedekad Kolej Al-Quran Terengganu (KQT), di sini.
Menurut beliau, kemajuan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) tidak mengubah kedudukan al-Quran sebagai wahyu Allah yang mempunyai keistimewaan tersendiri, malah teknologi hanya menjadi alat yang membantu manusia mencari dan mengolah maklumat berkaitan al-Quran.
Jelasnya, terjemahan al-Quran ke dalam bahasa lain juga tidak boleh menggantikan kedudukan al-Quran dalam bahasa Arab kerana terjemahan merupakan usaha manusia untuk memahami makna, sedangkan al-Quran itu sendiri mempunyai dimensi bahasa, susunan ayat, makna, hukum, hikmah dan tafsir yang terus terbuka untuk dikaji.
“Kalau kita kaji bahasa, susunan ayat, makna, hukum, hikmah dan tafsir, semakin kita kaji, semakin banyak yang kita jumpa. Sebab itu al-Quran tidak pernah habis untuk dikaji,” katanya.


Tambahnya, tradisi keilmuan Islam sejak dahulu turut memperlihatkan bagaimana para ulama menghabiskan usia mereka bersama al-Quran dengan menghasilkan pelbagai karya tafsir dan pendekatan dalam memahami ayat-ayat Allah SWT.
Ujar beliau tokoh seperti Imam al-Tabari, Ibn Kathir dan Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi memperlihatkan bahawa al-Quran sentiasa boleh diteliti melalui pelbagai sudut ilmu, manakala pertambahan pengalaman dan keluasan ilmu seseorang turut mempengaruhi cara seseorang memahami serta menghayati kandungan kitab suci itu.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan golongan penghafaz al-Quran supaya tidak berhenti pada hafazan semata-mata, sebaliknya meneruskan perjalanan ilmu dengan memahami, mengkaji dan mengamalkan kandungan al-Quran dalam kehidupan.
“Hafazan perlu dijaga. Perlu murajaah, perlu ditasmik dan perlu sentiasa kembali kepada ayat yang telah dihafaz. Al-Quran bukan sesuatu yang kita simpan dalam kepala untuk satu tempoh, tetapi sesuatu yang perlu dijaga sepanjang kehidupan,” tambah beliau lagi.
Beliau turut mengingatkan bahawa kesukaran membaca atau menghafaz al-Quran tidak sepatutnya menjadi alasan untuk seseorang berhenti daripada mempelajarinya kerana terdapat kelebihan bagi mereka yang terus berusaha walaupun berhadapan kesukaran.
Katanya, masyarakat juga tidak seharusnya menganggap pendidikan tahfiz akan mengehadkan masa depan seseorang kerana sejarah dan perkembangan semasa menunjukkan ramai penghafaz al-Quran mampu menguasai pelbagai bidang profesional dan akademik.
“Jangan kita fikir apabila anak masuk tahfiz, masa depannya menjadi sempit. Ada penghafaz al-Quran yang menjadi doktor, jurutera, ahli akademik dan profesional dalam pelbagai bidang.
“Al-Quran tidak mengecilkan dunia seseorang. Sebaliknya, al-Quran sepatutnya menjadi asas untuk membina manusia yang lebih luas pemikirannya,” jelas beliau.
Beliau turut berkongsi beberapa kisah berkaitan kecintaan manusia terhadap al-Quran, termasuk pengalaman individu yang memanfaatkan tempoh sukar dalam kehidupannya untuk menghafaz al-Quran sehingga hampir 20 juzuk.


Menurut beliau, kisah tersebut memberikan gambaran bahawa persoalan utama bukan semata-mata berapa banyak masa yang dimiliki seseorang, tetapi bagaimana masa yang diberikan Allah SWT dimanfaatkan.
Dalam konteks pembentukan generasi muda, beliau berkata persekitaran yang dekat dengan al-Quran turut memainkan peranan penting kerana anak-anak memerlukan suasana yang dapat membantu mereka mengekalkan kecintaan terhadap al-Quran dalam kehidupan seharian.
Katanya, golongan Hamalatul Quran juga tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai kelompok yang menghafaz ayat-ayat al-Quran, sebaliknya mereka membawa satu amanah besar untuk memastikan al-Quran terus hidup melalui bacaan, penghayatan, akhlak dan amalan.
“Jangan sekadar hafaz al-Quran, tetapi cintailah al-Quran. Jangan sekadar baca al-Quran, tetapi kajilah al-Quran. Jangan sekadar mengkaji al-Quran, tetapi hidupkan al-Quran dalam kehidupan,” ujar beliau.
Beliau berkata, kecintaan terhadap al-Quran juga tidak seharusnya dilihat sebagai penghalang kepada kejayaan duniawi, sebaliknya ia perlu menjadi asas pembentukan generasi yang mempunyai ilmu, jati diri, integriti dan pemikiran yang luas.
“Kalau kita diberi peluang dan masa untuk belajar,3 jangan terlalu banyak menunggu. Umur berjalan, anak-anak membesar, dunia berubah dan masa tidak akan kembali.
“Apa yang kita boleh lakukan hari ini, jangan tunggu esok,” ujar beliau.






























