Al-Quran Teras Semua Aliran, MTT Bentuk Pelapis Ulama dan Profesional Rabbani

158

KUALA NERUS,30 Januari – Pendidikan Al-Quran bukan sekadar pelengkap, sebaliknya menjadi kewajipan teras kepada semua pelajar Madrasah Tahfiz Terengganu (MTT) merentasi pelbagai aliran pengajian termasuk akademik, TVET dan profesional.

Pengetua Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT), Muzaihar Kamal Mustapa Kamal berkata, penubuhan institusi itu bertujuan membentuk bakal pelapis ulama dan golongan profesional sebagai pemimpin masa depan yang menguasai ilmu dan maklumat secara bersepadu demi kesejahteraan dunia dan akhirat.

Katanya, Majlis Haflah At Takrim & Idul Ilmi 2026 yang dianjurkan bukan sahaja bertujuan menghargai pencapaian pelajar dalam bidang hafazan Al-Quran, akademik dan kokurikulum, malah menjadi medium menyuntik semangat kepada pelajar, guru serta ibu bapa.

“MTT mengetengahkan model pendidikan bersepadu merangkumi tahfiz sains tulen, tahfiz perakaunan, tahfiz pengajian Islam, tahfiz TVET dan pendidikan Al-Quran sebagai teras utama institusi.

“Walau apa jua aliran yang diikuti, Al-Quran bukan pilihan tetapi kewajipan. Pelajar sains tulen tetap perlu bertalaqqi dan bertasmik setiap hari, begitu juga pelajar perakaunan, pengajian Islam dan TVET diwajibkan mengikuti subjek teras hafazan Al-Quran,” jelasnya.

LBeliau berkata demikian ketika berucap pada program Majlis Haflah At Takrim & Idul Ilmi 2026 yang diadakan di Dewan Jubli Perak Kuala Nerus, semalam.

Menurutnya, walau siapa pun dirinya dan setinggi mana pun tahap pendidikannya, Al-Quran perlu dijadikan teras serta asas pendidikan dalam kehidupannya.

Beliau menegaskan, pendekatan itu bertujuan membentuk generasi rabbani yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki integriti, amanah serta kesedaran bahawa setiap tindak-tanduk dinilai oleh Allah SWT.

Dalam pada itu, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap realiti masyarakat masa kini yang menyaksikan wujudnya golongan profesional dan berpendidikan tinggi, namun tandus daripada asas agama sebagai panduan hidup.

“Kerana anak-anak kitalah, dalam tempoh sepuluh tahun akan datang, yang bakal memimpin negara. Namun, apakah ertinya jika seseorang itu mahir dalam bidang akademik, kejuruteraan, sains dan profesional, tetapi tidak memiliki dasar pendidikan yang menjadi panduan hidup, iaitu teras Islam itu sendiri?

“Tanpa teras tersebut, ilmu yang dimiliki tidak akan membimbing, sedangkan Islamlah yang memandu pembentukan anak-anak kita agar menjadi insan profesional yang Rabbani, berintegriti serta amanah dalam setiap gerak kerja,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas sokongan berterusan terhadap sekolah agama rakyat, pondok dan institusi tahfiz, termasuk MTT, dalam mendepani cabaran sistem pendidikan semasa.

“Walaupun MTT merupakan sekolah agama rakyat yang berdikari, kami tidak ketinggalan dalam pencapaian arus perdana. Pelajar MTT mencatat kejayaan dalam bidang akademik, hafazan Al-Quran serta kokurikulum, termasuk muncul juara dalam acara hafazan dan memanah,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan sistem pendidikan MTT didorong oleh komitmen tinggi para guru, kesungguhan pelajar, sokongan ibu bapa dan dorongan kerajaan negeri sebagai tulang belakang kepada pembangunan pendidikan Islam di Terengganu.

Pada majlis itu, beliau turut menggariskan enam rukun untuk memperoleh ilmu iaitu kecerdikan yang diasah, motivasi dan keinginan tinggi serta kesungguhan semua pihak.

“Kena ada kemampuan tapi tak bermaksud kaya, sangat mengharapkan sokongan dan dorongan ibu bapa,” kata beliau

Selain itu, bagi memastikan keberkatan dan kejayaan dalam menuntut ilmu, para pelajar perlu menjalin hubungan yang baik dan bersahabat dengan para guru.

“Janganlah kita bermusuhan dengan guru mahupun institusi pendidikan, kerana merekalah perantara ilmu yang membimbing kejayaan kita.

“Untuk belajar dan tuntut ilmu kena ada tempoh yang mencukupi,” tegasnya lagi.