Oleh KAM
KUALA TERENGGANU – Umat Islam disarankan agar kembali menjadikan al-Quran itu sebagai suatu cara hidup atau “Buku Panduan” kepada manusia.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata Al-Quran itu merupakan buku panduan bagi manusia untuk hidup di atas dunia ini.
“Begitulah kita manusia hidup atas dunia ini, panduan kita ialah al-Quran Karim. Jika orang itu guna panduan al-Quran, hidup atas dunia ini akan selamat baik dari segi politik, ekonomi, individu, keluarga dan masyarakatnya dia akan selamat.
“Sebab itulah, masalah yang melanda dalam masyarakat kita hari ini kerana masyarakat membelakangkan al-Quran yang menjadi buku panduan dalam kehidupannya di atas dunia ini.
“Jadikan al-Quran itu sebagai satu cara hidup kita yang kita baca, kita hayati dan kita amalkan,” ujarya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Jamaie DACS, ARC Kawasan Kuala Terengganu di sebuah restoran dekat sini, pada Isnin 22 Jun.


“Kita ambil contoh yang paling dekat dengan anak muda sekalian sudah tentulah sukan permotoran. Motosikal juga ada buku panduan yang disediakan oleh pihak syarikat yang membuatnya bagi tujuan keselamatan sebagai pengguna.
“Satu peraturan yang lengkap untuk pengguna yang baru hendak mengenalinya, supaya kita boleh guna motosikal itu dengan selamat. Sebab itu, orang yang menjadikan buku panduan dan ikut arahan tuan syarikat permotoran itu dia (pengguna) akan dapat guna motor itu dengan selamat.
“Tetapi, jika dia (pengguna) itu tidak ikut buku panduan dan buat ikut suka dia sahaja, yang patut isi minyak dia isi dengan air akan jadi rosak dan binasa,” tegasnya.
Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Terengganu berkata pemuda juga merupakan satu peranan yang sangat penting dalam kerja perjuangan Islam.
“Disinilah kedudukkan Dewan Pemuda PAS sebagai sayap kanan kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Yang memainkan peranan bukan sahaja untuk anak muda memberikan undi dan sokongan kepada PAS dalam pilihan raya.
“Tetapi, lebih dari itu lagi untuk membimbing anak muda yang ada dalam negara kita supaya menjadi anak muda yang mengenal Islam, memahami Islam, beramal dengan Islam dan menjadikan Islam itu sebagai cara hidup mereka,” tegasnya.
Justeru, Ustaz Muhammad Khalil mengharapkan agar DACS dan ARC dapat meneruskan usaha menarik minat anak-anak muda bersama dengan PAS.




























