Akta Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Akan Digubal

270

AKTA KAWALAN DAN SEKATAN PENGEMBANGAN AGAMA BUKAN ISLAM AKAN DIGUBAL

Saya memahami keresahan umat Islam berhubung keputusan mahkamah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

Ramai yang risau mengenai apakah nasib umat Islam selepas keputusan ini nanti?

Dari sudut hukum, wujud perbezaan pandangan mengenai penggunaan kalimah Allah. Ada yang membenarkan, ada juga yang menolak.

Dalam hal ini, pandangan saya selari dengan Ahli Parlimen Marang, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang iaitu kita tidak boleh sampai tidak membenarkan penggunaannya oleh orang bukan Islam tetapi perlu ada batasannya.

Yang kita risaukan adalah wujud dalam kalangan bukan Islam yang “mempergunakan” kalimah Allah ini bagi tujuan menyebarkan agama lain kepada orang Islam.

Di sinilah penting untuk kita melihat tujuan penggunaan sesuatu perkataan itu berpandukan kepada kaedah fiqh yang membawa maksud “Semua perkara dilihat kepada tujuannya.”

Dalam isu kalimah Allah ini khususnya, kita tidak boleh melihat sekadar apa lafaz dan ungkapannya sahaja, tetapi mesti juga diambil kira maksud tujuan dan maknanya.

Jika tujuan kalimah Allah digunakan untuk mengelirukan atau menghina penganut Islam, maka perlu ada sempadan yang ditetapkan dalam penggunaannya.

Perlembagaan Persekutuan telah memberikan punca kuasa kepada negeri-negeri termasuklah Wilayah Persekutuan untuk menggubal undang-undang bagi tujuan mengawal dan menyekat pengembangan agama bukan Islam.

Kuasa ini telah diberikan di bawah Perkara 11(4) iaitu setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya tetapi tidak boleh mengembangkan atau mempengaruhi orang lain untuk mengamalkan agama yang mereka anuti.

Oleh itu, penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasakan di negeri-negeri yang sudah pun menggubal Enakmen Kawalan Pengembangan Agama bukan Islam kepada orang Islam.

Manakala, kita dalam usaha untuk menggubal enakmen / akta ini di negeri-negeri yang masih belum ada termasuklah Wilayah Persekutuan, sebagaimana yang saya pernah maklumkan di Parlimen pada 26 November 2020.

Semua pihak perlu memainkan peranan dalam mengekalkan keharmonian dan perpaduan di negara kita. Hormati asas yang telah dibina oleh Perlembagaan Persekutuan.

Saya ingin menegaskan agar jangan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh dengan menggunakan keputusan Mahkamah Tinggi ini untuk menyebarkan dakyah agama lain kepada orang Islam.

Di pihak Kerajaan, kita akan terus berusaha melakukan langkah-langkah yang lebih jitu ke arah pengharmonian perundangan di Malaysia mengikut kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Marzuk Shaary,
12 Mac 2021