EXCO Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor Y.B. Tuan Dr. Ahmad Yunus Hairi, menjelaskan bahawa Air di tujuh buah empangan di negeri Selangor masih lagi melebihi paras kawalan yang ditetapkan.
Kadar takungan di empangan Tasik Subang adalah 97.6 %, empangan Sungai Tinggi 83.56 %, empangan Sungai Selangor 57.63 %, empangan Semenyih 93.85 %, Empangan Langat 83.63 %, empangan Klang Gate 58 % dan empangan Batu 92.03 %
Penjelasan tersebut dibuat beliau kepada pihak wartawan di dalam sidang media seusai melakukan lawatan di empangan Sungai Selangor, Kuala Kubu Baru, Hulu Selangor semalam Khamis 13 Februari.


“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor memutuskan agar saya membuat pemantauan ekoran isu penutupan loji Batu 11, Cheras dan loji Bukit Tampoi baru-baru ini.
“Lawatan adalah untuk melihat samada air di empangan mampu untuk membekakan air kepada penduduk di sekitar Lembah Kelang (atau sebaliknya) memandangkan keadaan cuaca yang agak kering kebelakangan ini,”ujarnya.
Sebelum itu, kehadiran Dr. Ahmad Yunus yang juga ADUN PAS bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri Sijangkang telah di sambut dan diberikan taklimat ringkas oleh Tuan Hj Md Khairi Selamat, Pengarah Lembaga Urus Air Selangor.
Turut hadir adalah wakil Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) dan beberapa kakitangan LUAS serta Empangan Sungai Selangor.
Beliau berharap, penduduk negeri Selangor tidak khuatir kerana masih ada sebuah kolam takungan air untuk kegunaan kawasan di sekitar Kuala Lumpur International Airport (KLIA) iaitu Kolam Takungan Sungai Labu.
Katanya, empangan Sungai Selangor bersama-sama dengan empangan Sungai Tinggi sahaja, menyalurkan lebih kurang 3300 mld bekalan air kepada 5 loji rawatan air iaitu Rasa, Rantau Panjang, SSP1, 2 dan 3 yang membekalkan 60 peratus peggunaan air untuk penduduk di sekitar Lembah Kelang.
Beliau juga berkata, pihak kerajaan negeri sedang berbincang dengan pihak Jabatan Meteoriligikal Malaysia (JMM) untuk melakukan proses pembenihan awan (cloud seeding) dengan kadar skala yang agak besar mengikut kesesuaian masa.
Beliau berkata, untuk menangani masalah keperluan air di kawasan Dengkil, Sepang dan Kuala Langat, Mesyuarat EXCO Negeri Selangor bersetuju menambah tangki-tangki air di kawasan terbabit melalui Pihak UPEN dan Pihak Berkuasa Tempatan.
Namun begitu, Dr. Ahmad Yunus terus berharap agar rakyat Selangor menggunakan air dengan cara berhemah dan tidak melakukan pembaziran, walaupun kerajaan negeri Selangor memberikan air percuma 20 meter padu pada setiap bulan.
“Rakyat Selangor perlu sentiasa mengamalkan sikap berjimat cermat dan berhemah di dalam penggunaan air supaya sumber air Selangor tidak terjejas di masa hadapan,”tambah beliau




























