KUALA TERENGGANU – Umat Islam diseru agar menghayati pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS sebagai asas kekuatan iman, ketaatan dan perpaduan ummah sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Dr Wan Mat Sulaiman berkata, hikmah terbesar Aidiladha dan ibadah korban ialah mengingatkan umat Islam kepada pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS yang sanggup melaksanakan perintah Allah SWT meskipun melibatkan anak kesayangannya, Nabi Ismail.
Beliau berkata, Nabi Ismail pula menunjukkan ketaatan luar biasa apabila menerima perintah tersebut dengan penuh sabar dan reda, sebagaimana ungkapan baginda agar bapanya melaksanakan perintah Allah SWT dengan yakin dan tenang.
“Natijah daripada ketaatan dan pengorbanan itu, Allah SWT menggantikan Nabi Ismail dengan sembelihan yang عظیم, seterusnya menjadikan Mekah sebagai kota suci umat Islam hingga ke hari ini,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, peristiwa tersebut membawa mesej jelas bahawa pengorbanan merupakan prasyarat kepada kejayaan dalam apa jua perjuangan, khususnya dalam usaha menegakkan agama Islam.
“Kemenangan tidak datang dengan mudah, sebaliknya lahir daripada kesungguhan, pengorbanan dan ketabahan menghadapi ujian,” katanya.
Tambah beliau, umat Islam juga dituntut agar mentaati segala perintah dan larangan Allah SWT tanpa sebarang kompromi walaupun berdepan cabaran kehidupan termasuk tekanan ekonomi semasa.
Kata Dr Wan , cabaran ekonomi tidak seharusnya melemahkan semangat umat Islam untuk terus berkorban, sebaliknya perlu dijadikan pemangkin untuk membantu golongan yang memerlukan.
“Seperti mana Nabi Ibrahim tidak membiarkan kasih sayang menghalang ketaatan kepada Allah SWT, umat Islam juga perlu yakin bahawa setiap pengorbanan kerana Allah akan diganti dengan kebaikan yang lebih besar,” ujarnya.
Beliau menegaskan, penghayatan ibadah korban bukan sahaja menghidupkan sunnah Nabi Ibrahim AS dan Nabi Muhammad SAW, malah mampu mengeratkan ukhuwah, memperkukuhkan perpaduan serta membantu merancakkan ekonomi masyarakat Islam melalui agihan daging korban.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru umat Islam agar mendoakan jemaah haji yang sedang menunaikan ibadah di Tanah Suci agar dikurniakan haji yang mabrur dan dipermudahkan segala urusan.
Tambah beliau, perhimpunan jutaan umat Islam di Mekah dan Madinah seharusnya menjadi simbol penyatuan ummah yang berpaksi kepada aqidah yang satu.
Justeru itu, beliau turut berharap agar sambutan Aidiladha dan ibadah korban tahun ini menjadi pemangkin kepada pengukuhan ukhuwah Islamiah serta kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia.





























